LIPIS : Alasan yang tidak masuk akal, ‘tidak cucuk (suntik) vaksin pun tidak mati, sebab tidak pergi ke mana dan takut jarum (suntikan)’ antara alasan yang lazimnya disebut oleh sesetengah penduduk di luar bandar yang enggan menerima vaksinasi.
Perkara ini diceritakan oleh Naib Pengerusi Satu, Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Mohd. Farid Mohd. Nor kepada Utusan Malaysia ketika program pendaftaran vaksinasi Covid-19 penduduk luar bandar di Kampung Chegar Perah, dekat sini baru-baru ini .
Sempena program anjuran kerajaan Pahang, seramai 14 orang penduduk Kampung Chegar Perah daripada 54 orang pelbagai peringkat usia tidak bersetuju untuk mengambil vaksin.
Menurut Mohd Farid, kalangan warga emas paling ramai yang menolak pengambilan vaksin dengan memberikan alasan mereka tidak akan ke mana-mana lagi memandangkan usia sudah lanjut dan menunggu penghujung hayat tidak lama lagi.
Katanya, pada mulanya kesemua 54 orang orang penduduk enggan disuntik, tetapi setelah dipujuk berkali-kali serta diberi penerangan yang jelas mengenai kepentingan vaksinasi baharulah sejumlah 40 orang sahaja bersetuju.
“Ada yang bersikap yakin dengan mempertahankan (imunisasi) dan kesihatan masih kuat berasaskan sejak dari usia muda tidak pernah dihinggapi penyakit.
“Juga ada kalangan bukan warga emas dan usia muda berkeras menolak dengan alasan ‘sahaja tidak mahu’ dan tanpa berkeperluan suntikan vaksin buat masa ini,” katanya di Kampung Chegar Perah dekat sini.
Mohd Farid yang juga Ketua Pemuda UMNO Pahang mengetuai seramai 20 orang sukarelawan MTSP dalam rangka program membantu kerajaan negeri mengadakan pendaftaran dan suntikan vaksinasi penduduk luar bandar termasuk Orang Asli di Lipis.
Sukarelawan MTSP terpaksa menggunakan motosikal ekstrem, kenderaan pacuan empat roda dan bot penambang untuk menjelajah ke kampung pedalaman Lipis bagi menyelesaikan sasaran sebanyak 80 peratus imunisasi kelompok di Pahang menjelang bulan Ogos ini.
Menurut Mohd Farid, sukarelawan MTSP akan terus berusaha memujuk penduduk yang menolak vaksinasi di samping bantuan perkhidmatan kaunselor daripada kakitangan Jabatan Kesihatan Lipis.
Sementara itu, penduduk warga emas Chegar Perah, Siti Zauyah Mandak, 83, berkata, pada mulanya dia enggan kerana mendengar pelbagai cerita menakutkan kesan vaksinasi daripada penduduk di situ termasuk beranggapan badan sihat tidak perlu suntikan.
“Setelah diberi penerangan oleh sukarelawan ini ternyata benar untuk mengelakkan jangkitan Covid-19, saya akhirnya mengubah fikiran dan bersetuju untuk disuntik.
“Saya harap mereka yang enggan disuntik buanglah tabiat keras hati dan patuhilah nasihat kerajaan untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19 pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE