Tokoh pemikir Melayu dilantik TNC (HEP) UiTM yang baharu - Utusan Malaysia

Tokoh pemikir Melayu dilantik TNC (HEP) UiTM yang baharu

MOHD. SHAZILI SHAHIBI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM-Pengarah Institut Pemikiran Dan Kepimpinan Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) (IMPAK),Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi ,51, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang baharu menggantikan Prof. Dr. Azizan Abdullah,56, berkuatkuasa 14 Jun.

Menurut Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Nora Noordin, Mohd. Sazili merupakan pakar bidang sistem dan teknologi maklumat serta e-dagang.

“Beliau telah berkhidmat di UiTM selama hampir 20 tahun di pelbagai peringkat pengurusan, akademik dan kepemimpinan pelajar.

“UiTM turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas pelantikan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nora berkata, Mohd. Sazili adalah penerima Anugerah Kepimpinan Pendidikan Asia oleh CMO Asia & World Education Congress pada tahun 2018, sebagai pengiktirafan terhadap kualiti dan kecemerlangan kepemimpinan beliau dalam mengendali dan menangani isu-isu pendidikan.

Katanya lagi, antara jawatan yang pernah disandang Mohd.Sazili adalah sebagai Ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia dan Panel Penasihat Polisi Institut Wasatiyah Malaysia Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau juga adalah Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka dan Dekan Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM.

“Beliau kini aktif sebagai Pengerusi Ikatan Teras Minda Malaysia (ITEM) serta penggerak penting yang berperanan dalam meningkatkan pembabitan pelajar dalam kepimpinan persatuan dan aktiviti kemasyarakatan,”katanya.

Beliau menambah, UiTM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Azizan atas segala khidmat bakti dan kepimpinan sepanjang tempoh menyandang jawatan tersebut.

Beliau menambah, sebagai Timbalan Naib Canselor HEP yang baharu, Mohd. Sazili diharap terus menyerlahkan kualiti dan kecemerlangan pengurusan
pelajar sejajar dengan hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM 2025 untuk menjadi universiti terkemuka dunia.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN