TNB tidak keluarkan bil anggaran - Utusan Malaysia

TNB tidak keluarkan bil anggaran

MAHDZIR KHALID beramah mesra dengan sebahagian penerima suntikan vaksin di Dewan Tunku Putera di Kuala Nerang, Padang Terap, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak akan mengeluarkan bil elektrik secara anggaran pada sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan sepenuhnya yang bermula hari ini. 

Sebaliknya, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kakitangan yang ditugaskan membaca meter elektrik akan bekerja seperti biasa untuk menjalankan tugas mereka di sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, keputusan yang diambil oleh TNB pada kali ini berbeza berbanding dengan pengeluaran bil elektrik secara anggaran dan dihantar kepada pelanggan melalui aplikasi myTNB pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama pada 18 Mac tahun lalu.  

“Kali ini pembaca meter elektrik akan terus bergerak dari rumah ke rumah untuk melaksanakan tugas mereka dan menyerahkan jumlah bil yang tepat. 

“Tiada lagi bil anggaran sampai beberapa bulan seperti pelaksanaan PKP kali pertama dulu. Kali ini kita akan menyerahkan bacaan tepat kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang dijalankan secara atas talian setelah melancarkan Pasukan Bergerak Vaksinasi Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putera, Kuala Nerang di sini, hari ini. 

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menambah, pihak TNB mengadakan beberapa usaha dalam usaha membantu meringankan beban rakyat pada sepanjang tempoh ‘total lockdown’ kali ini. 

“Bagaimanapun saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut hari ini, tunggulah kenyataan penuh dari TNB,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebuah pasukan vaksinasi secara bergerak ditubuhkan bagi menjalankan suntikan vaksin kepada penduduk terutama warga emas yang layak di daerah ini bermula esok.

Menurutnya, pasukan tersebut yang memiliki petugas kesihatan lengkap daripada Jabatan Kesihatan Negeri ditubuhkan bagi mempercepatkan proses suntikan vaksin kepada penduduk terlibat.

“Bermula esok, mereka akan memberikan suntikan vaksin di penghuni Pondok Ahmadiah di Pulau Nyior dan Pusat Jagaan Warga Emas Bukit Bethel dekat sini,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya