PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan terdapat peningkatan dalam kes penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian.
Dalam tempoh tiga tahun sejak 2019, sebanyak 1,691 kes penipuan direkodkan dengan jumlah kerugian RM 9.13 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 552 kes penjualan kenderaan tidak wujud dilaporkan pada 2019 dengan jumlah kerugian sebanyak RM3.2 juta dan jumlah tersebut meningkat kepada 678 kes pada 2020 dengan kerugian RM 5.9 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din memberitahu, bagi awal tahun ini sehingga Mei lalu, sebanyak 461 kes direkodkan dengan jumlah kerugian RM5.4 juta.
Ujar beliau, jumlah ini meningkat 94.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang mana hanya mencatatkan sebanyak 237 kes dengan jumlah kerugian RM1.39 juta.
“Siasatan mendapati, modus operandi yang sering digunakan adalah dengan menawarkan harga kenderaan import terpakai yang kononnya daripada Singapura, Thailand atau Langkawi menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran semasa.
“Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut kemudiannya akan diminta untuk memasukkan wang ke dalam akaun kononnya untuk pembayaran proses cukai jalan, geran, cukai kastam dan sebagainya.Bagaimanapun, setelah wang dimasukkan kenderaan yang dijanjikan tidak diterima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Kamaruddin, sehubungan itu, orang ramai dinasihati untuk sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum membuat pembelian secara dalam talian lebih-lebih lagi penawaran harga yang lebih murah daripada pasaran.
Kata beliau, beberapa tips yang boleh digunakan orang ramai seperti membuat tinjauan dan semakan harga jualan semasa di pasaran kereta terpakai.
“Selain itu, pembeli perlu menghadiri diri secara fizikal ke alamat syarikat jualan kereta terpakai untuk meninjau kenderaan itu sendiri selain mengadakan perbincangan dengan pemilik syarikat atau ejen yang sah.
“Orang ramai juga diingatkan jangan mudah percaya dengan iklan jualan kereta terpakai yang menawarkan harga yang terlalu murah atau harga istimewa atas alasan pengecualian cukai kastam, kereta rampasan pihak berkuasa dan lain-lain alasan daripada pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, tambah Mohd. Kamaruddin, setiap rekod perbualan dan transaksi pembayaran perlu sentiasa disimpan sebagai bukti selain memastikan urusan perjanjian jual beli kenderaan mesti melalui kaedah yang diperakui agar tidak mudah menjadi mangsa.
“Langkah terakhir, orang ramai boleh membuat semakan akaun bank, talian telefon terlebih dahulu melalui laman sensawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun bank tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak,” tegasnya.-UTUSAN ONLINE