KOTA KINABALU: Timbalan Pengarah dan Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesalahan mengemukakan butiran tuntutan palsu di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini.
Kedua-dua tertuduh, Syahruddin Mohd Saleh, 39, dan Sufri Hassan Mindar, 35, membuat pengakuan tidak bersalah itu dalam pertuduhan berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Syahruddin iaitu Timbalan Pengarah SKMM didakwa atas tiga pertuduhan iaitu mengemukakan dokumen palsu bertajuk Reconciliation of expenses incurred for “KDB with Parliament Beluran”.
Dokumen tuntutan itu masing-masing bernilai RM2,000, RM290 dan RM1,700 yang dihantar kepada Timbalan Pengarah Bahagian Kewangan dan Perakaunan SKMM dan tuntutan itu dilakukan semasa tertuduh bertugas di Pejabat SKMM cawangan Sandakan pada 24 Julai 2014.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Hakim menetapkan 16 Ogos ini sebagai sebutan semula kes di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi penyerahan dokumen untuk perbicaraan.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan deposit RM5,000 serta seorang penjamin tempatan.
Dalam kes berasingan, Penolong Pengarah SKMM, Sufri Hassan didakwa mengemukakan invois bagi tuntutan palsu yang bernilai RM4,900 pada 30 Disember 2013 ketika bertugas sebagai Ketua Pejabat SKMM cawangan Beaufort. Tuntutan itu dikemukakan pada 6 Januari 2014.
Tertuduh didakwa mengemukakan tuntutan bagi menyewa sistem siar raya, platform, kipas dan pembelian 20 unit hamper sempena Festival Begandang Beaufort 2013.
Hakim menetapkan 16 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM10,000 dan deposit RM4,000 serta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali dan pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah.
Kedua-dua tertuduh yang masih bertugas diingatkan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rekraj Singh Al Jaswant Singh manakala, kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Abdul Fikry Jaafar Abdullah. -UTUSAN