Tiga PPV IPT beroperasi Isnin ini - Utusan Malaysia

Tiga PPV IPT beroperasi Isnin ini

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA :Tiga pusat pemberian vaksin institusi pendidikan tinggi (PPV IPT) iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (@AmDI) USM akan dibuka bermula 7 Jun ini. 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, PPV IPT UiTM Kampus Puncak Alam akan memulakan operasi pada Isnin ini, manakala PPV IPT USM dan PPV IPT @AmDI akan mula beroperasi pada 14 Jun.

Menurut beliau, pemberian vaksin di UiTM Kampus Puncak Alam akan dibuat di Dewan Berlian yang mempunyai kapasiti 1,500 orang pada satu-satu masa bermula pukul 9 pagi hingga 8  malam. 

Beliau menjelaskan, pemberian vaksin itu dilaksanakan secara hibrid iaitu perkhidmatan pemberian vaksin kepada orang ramai secara pandu lalu turut disediakan di Hospital UiTM yang terletak di dalam Kampus Puncak Alam. 

“Bagi menyokong usaha ini, seramai 200 kakitangan digerakkan  terdiri daripada petugas barisan hadapan kampus dan petugas kesihatan dari Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi dan Fakulti Sains Kesihatan. 

“Perkhidmatan sukarelawan yang terdiri daripada staf, pelajar dan alumni juga mendapat sokongan yang menggalakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini berkata, bagi PPV IPT USM, pemberian vaksin akan dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Peperiksaan A dan B, Kampus Induk, USM secara hibrid dengan sasaran 400 hingga 1,000 sehari. 

Katanya, perkhidmatan pemberian vaksin kepada orang ramai secara pandu lalu turut dirancang bagi kes-kes tertentu seperti orang kurang upaya (OKU).

Beliau turut memberitahu, pemberian vaksin di PPV IPT @AmDI, Bertam akan dibuat di Dewan Al- Azahari, yang mempunyai kapasiti 200 orang pada satu-satu masa dengan sasaran 1,000 orang sehari.  

“USM menggerakkan 400 kakitangan iaitu petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang terdiri terdiri daripada staf, pelajar dan juga alumni,” katanya. 

Pada masa sama, Noraini berkata, tiga PPV IPT itu merupakan sebahagian daripada 19 PPV IPT yang dicadangkan oleh KPT bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam menyediakan akses lebih luas kepada rakyat untuk divaksin. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya