TAMPIN: Tiga buah premis perniagaan di daerah ini dikenakan kompaun masing-masing sebanyak RM10,000 selepas didapati masih beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, kesalahan berkenaan disedari oleh tiga anggota pasukan penguat kuasa Majlis Daerah Tampin (MDT) yang menjalankan rondaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), semalam.
Menurutnya, hasil pemantauan mendapati terdapat tiga buah kedai yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak dibenarkan dan bukan merupakan keperluan dalam tempoh pelaksanaan PKP Penuh ketika ini.
“Kompaun telah dikeluarkan kepada tiga pemilik kedai iaitu kedai menjual perabot, kedai alat telekomunikasi dan kedai menjual komputer. Dua daripadanya terletak di kawasan Gemencheh, manakala sebuah lagi di Air Kuning.
“Arahan ini sudah dikeluarkan sejak 1 Jun lagi, namun, semalam, kami dapati masih ada yang berdegil dan beroperasi walaupun tidak tersenarai dalam operasi perniagaan yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhaiza berkata, kesemuanya dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP PKP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sehubungan itu, beliau berharap agar semua pihak terutamanya pekedai dapat mematuhi SOP PKP Penuh kerana kegagalan mengikutinya akan berhadapan dengan tindakan undang-undang. -UTUSAN ONLINE