Tidak timbul isu undi tidak percaya - Utusan Malaysia

Tidak timbul isu undi tidak percaya

(Dari kiri) NOH OMAR, KHALID SAMAD dan SHAMSUL ISKANDAR MAT AKIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu wajar dijadikan sandaran kepada semua ahli Parlimen sama ada kerajaan dan pembangkang agar tidak membangkitkan soal ketidakpercayaan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Parlimen akan datang.

Hal ini kerana sekarang bukan masa sesuai untuk sibuk berpolitik kerana semua anggota Dewan Rakyat perlu bersama-sama mencari titik penyelesaian di dalam usaha pemulihan pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, semua pihak termasuk badan eksekutif wajar merujuk kepada titah Agong dan Raja-Raja Melayu yang perlu dijadikan asas perbahasan persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, titah itu antaranya menyentuh harapan institusi beraja agar jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan segera dan baginda-baginda berpandangan bahawa vaksinasi merupakan satu-satunya jalan keluar bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di samping tiada keperluan darurat selepas 1 Ogos.

“Jika kita berpegang kepada titah Agong dan Raja-Raja Melayu, jadi, tidak lagi timbul soal undi tidak percaya dibentangkan pada sidang Parlimen kelak. Oleh itu, semua pihak termasuk kerajaan sendiri perlu menjadikan titah Agong dan Raja-Raja Pemerintah itu sebagai sandaran.

“Oleh itu, janganlah kita terus berdolak-dalik dalam menyegerakan sidang Parlimen. Kalau boleh, urusan perjalanan perlu dimulakan daripada sekarang dengan sekurang-kurang bulan Julai atau Ogos boleh diadakan sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Selain itu, Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif serta kehakiman bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menegaskan kini bukan masanya untuk sibuk berpolitik dengan membangkitkan isu ketidakpercayaan dalam sidang Parlimen kerana negara kini berhadapan situasi sukar akibat jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Bagi UMNO sendiri, kita akan mencari jalan untuk mengatasi Covid-19 dan penyelesaian yang timbul akibat pandemik ini. Selain itu, adakah bantuan disampaikan benar-benar sampai kepada rakyat terkesan.

“Kita juga mencadangkan i-Sinar diteruskan pada sidang kali ini dan memperluaskan lebih banyak bantuan. Jadi sebut saya sebut sebelum ini, tidak bangkit undi tidak percaya kerana ini bukan masa sesuai untuk berpolitik,” katanya.

Senada ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, soal undi tidak percaya sama ada akan berlaku atau sebaliknya merupakan perkara kedua tetapi anggota Dewan Rakyat komited untuk membangkitkan usaha tuntas di dalam menangani Covid-19.

Ujarnya lagi, Parlimen merupakan platform terbaik untuk setiap ahli Parlimen berbahas dan mengutarakan pandangan terhadap isu-isu terkini terutamanya berkenaan keperluan darurat dan perjalanan program vaksin yang perlahan.

“Kita perlu berbincang bersama bagaimana usaha untuk menangani dan memulihkan masalah ekonomi. Selain itu, ahli Parlimen perlu berbahas terhadap bagaimana peruntukkan dibelanjakan selama ini dan perjalanan pentadbiran negara sepanjang darurat.

“Undi tidak percaya tidak harus timbul dalam sidang Parlimen kerana buat masa sekarang pentingnya bagaimana ahli Parlimen untuk mencari jalan keluar masalah pandemik ini,” katanya.

ANNUAR MUSA

 

Bagi ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, permainan politik perlu dihentikan bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda betapa pentingnya kerajaan stabil dan kukuh.

“Saya yakin kerajaan akan beri perhatian kepada semua pandangan yang dizahirkan dan bertindak mengikut undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya