JOHOR BAHRU: Kerajaan tidak perlu menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha melawan pandemik Covid-19.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd. Akmal Melan berkata, sebaliknya apa yang perlu adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh seperti tahun lalu.
Katanya, kejayaan pelaksanaan PKP kali pertama yang menyaksikan pandemik Covid-19 dapat dikawal ketika itu boleh dijadikan sebagai pengalaman.
“Mageran berfungsi sebagai kerajaan sementara demi memulihkan kedaulatan undang-undang dengan tujuan membawa negara ke arah perdamaian nasional.
“Mengikut sejarah, Mageran ditubuhkan pada 15 Mei 1969 iaitu dua hari selepas negara mengalami krisis antara kaum yang teruk pada 13 Mei 1969 selepas pengisytiharan darurat dan perintah berkurung.
“Di saat itu Mageran berfungsi sebagai alat utama dalam mengembalikan keadaan seperti sebelumnya dengan dikerahkan tentera beserta aset mereka. Hari ini jika berlaku keadaan yang sama seperti 13 Mei 1969, munasabah kepimpinan negara diletakkan dalam situasi demikian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Dr. Mahathir mencadangkan penubuhan Mageran dalam usaha kerajaan melawan pandemik Covid-19 yang dilihat berada pada tahap membimbangkan ketika ini.
Tambah Mohd. Akmal, Malaysia pernah membuktikan kepada dunia betapa cemerlangnya kita melawan pandemik ini dengan melaksanakan sekatan pergerakan penuh (total-lockdown) yang ketat ketika dilanda gelombang pertama.
“Bukan seperti sekatan pergerakan penuh yang kita hadapi sekarang ini. Jadi, apa yang perlu kita lakukan adalah mengulangi perkara itu.
“Itu sahaja yang perlu kita lakukan. Kita pernah berjaya sebelum ini, maka pastinya kita akan berjaya buat kali yang kedua. Kita sudah berpengalaman dan pengalaman mendewasakan kita bukan,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Habis