KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa Parlimen lain tidak patut dihalang daripada menyambung semula mesyuarat yang tertunda selama enam bulan akibat proklamasi darurat.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, ini berdasarkan kenyataan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan kesediaan Parlimen untuk bersidang pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, mengambil kira keadaan semasa penyebaran wabak Covid-19, langkah untuk memastikan Parlimen bersidang perlu diambil yang menjurus kepada penubuhan Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid untuk meneliti aspek teknologi dan kaedah persidangan.
“Maka ada jelas dari segi undang-undang tiada yang boleh mengekang perjalanan sidang Parlimen pada bila-bila masa termasuk sebelum tamat darurat pada 1 Ogos depan.
Ini adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menitahkan sidang Parlimen diadakan serta-merta. Jadi, PAC dan jawatankuasa Parlimen tidak patut dikekang daripada menyambung semula prosiding.
“Speaker Dewan Rakyat harus segera memberikan lampu hijau kepada PAC dan jawatankuasa Parlimen untuk bermesyuarat semula kerana tiada alasan untuk kami tidak boleh bermesyuarat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rais dan Azhar Azizan sebelum baru-baru ini mencadangkan supaya sidang Parlimen hibrid diadakan akhir Ogos atau minggu pertama September.
Terkini, Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kaedah persidangan Parlimen belum diputuskan kerajaan sama ada akan berlangsung secara fizikal atau hibrid.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, fungsi PAC ‘lumpuh’ selepas tidak dapat menjalankan tanggungjawab semak dan imbang dalam meneliti perbelanjaan kerajaan dengan lima laporan maklum balas kementerian gagal dibentangkan di Parlimen.
Sebanyak 15 mesyuarat PAC bagi tahun ini melibatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan turut tertangguh kecuali Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang statusnya masih berjalan.
Prosiding terakhir PAC adalah pada 5 Januari 2021 berhubung perolehan vaksin Covid-19 manakala prosiding lain terpaksa ditangguh.
Dalam pada itu, Kah Woh turut menegaskan, dalam mesyuarat dan prosiding PAC sejak November tahun lalu, sekretariat PAC telah memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan mengehadkan anggota-anggota sekretariat, pegawai-pegawai kementerian dan bekas pegawai yang hadir semasa prosiding.
Ini termasuklah saksi-saksi yang dipanggil untuk hadir ke hadapan PAC untuk menjalankan ujian calitan Covid-19 terlebih dahulu sebelum menjalankan prosiding.
“Terlampau banyak masa telah dibazirkan dalam masa enam bulan lalu. PAC perlu meneruskan kerja penyelesaian beberapa kes yang telah dimulakan PAC sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE