PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan tidak berkompromi dalam pelaksanaan polisi kuarantin pengembara luar negara memendekkan tempoh yang ditetapkan bagi memastikan risiko jangkitan import Covid-19 dapat dielakkan sekali gus melindungi rakyat negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya kekal serius dalam pelaksanaan polisi kuarantin pengembara luar negara biarpun pelbagai rayuan diterima Jawatankuasa Pengawasan dan Pemerhatian di rumah (HSO) di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).
“Rayuan ini rata-ratanya berkaitan permohonan pengecualian dan pemendekan tempoh kuarantin oleh pengembara yang pulang dari luar negara atas sebab-sebab tertentu namun kementerian memahami pelbagai situasi peribadi yang mereka hadapi.
“Apapun sebarang permohonan dan rayuan perlu melalui proses penilaian yang sangat ketat dengan penentuan tempoh kurantin wajib adalah berdasarkan kepada penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham menegaskan pelanjutan tempoh pengawasan ini adalah sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan Covid-19 dari luar negara tidak berlaku terutamanya melibatkan VOC dan VOI yang didapati lebih cepat merebak serta menyebabkan risiko kematian yang lebih tinggi.
“Tindakan ini juga merupakan amalan yang turut dijalankan kebanyakan negara lain.
“Bagi mengurangkan risiko kemasukan kes varian import, kerajaan telah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pelanjutan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) ke atas pengembara yang tiba di Malaysia,” katanya.- UTUSAN ONLINE