TAWAU: Ketidaktegasan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menangani Covid-19 antara punca berlakunya peningkatan kes yang mendadak selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.
Itu antara pandangan dikemukakan oleh pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) susulan kewujudan banyak kluster Aidilfitri di Sabah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, apabila kerajaan tidak tegas dan konsisten dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, ia memberi ruang kepada rakyat untuk mengambil kesempatan atas keadaan itu.
Dalam menangani penularan Covid-19, ia memerlukan kerjasama semua pihak namun, jika kerajaan sudah memberikan kelonggaran maka, mereka kena akur dengan kesannya.
Ketua Bahagian Warisan Papar ini berkata, jika dilihat pada masa ini biarpun sudah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tapi, masih banyak kenderaan di jalan raya kerana sektor ekonomi masih dibuka. Jadi, usaha menangani penularan Covid-19 masih lagi sukar dilakukan.
“Pada masa sama, rakyat juga kena mengambil iktibar dengan menjaga SOP kerana jika kita tidak bertindak dari sekarang, kita khuatir hospital-hospital di negeri ini akan lumpuh sekiranya kes Covid-19 terus meningkat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal berkata, kerajaan perlu bertindak tegas bagi memastikan keadaan yang berlaku semasa Aidilfitri tidak berulang.
Tindakan yang lebih tegas perlu diambil dalam menangani penularan Covid-19 di Tawau yang ketika ini sudah hampir tenat kerana kebanyakan kawasan sudah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Kita tidak boleh menyalahkan rakyat semata-mata kerana rakyat juga cuba mematuhi SOP yang ditetapkan. Tapi, disebabkan hilang rasa hormat kepada kerajaan yang tidak konsisten dalam menetapkan SOP, ia menyebabkan rakyat kecewa.
“Malah pendaftaran vaksinasi bagi fasa kedua juga begitu perlahan. Kita tahu kebanyakan golongan berusia 60 tahun dan ke atas ini ramai tidak mempunyai akses internet.
“Oleh itu, kerajaan sepatutnya menggerakkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk melakukan pendaftaran di kawasan masing-masing. Ambil pendekatan outreach masuk ke kawasan kampung-kampung,” katanya.
Ketua Wirawati Warisan Kalabakan ini berkata, sebulan lalu dimaklumkan peratusan kekosongan katil di Hospital Tawau hanya 30 peratus sahaja lagi dan jika pelaksanaan PKP 3.0 ini tidak berkesan, dikhuatiri keadaan ini akan menjadi lebih teruk.
ADUN Merotai merangkap Ketua Bahagian Warisan Kalabakan, Sarifuddin Hata berkata, tindakan kerajaan yang tidak konsisten dalam menetapkan SOP dalam membenarkan aktiviti ziarah Aidilfitri.
Pada mulanya tiada ziarah Aidilfitri diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan namun, Kerajaan Negeri memberi kebenaran berziarah selama tiga hari. Sekarang juga begitu, istilah PKP penuh itu hanya pada nama sebaliknya, kerajaan sendiri membenarkan banyak sektor ekonomi beroperasi.
Selepas sambutan Aidilfitri, Sabah mencatatkan kluster tertinggi ziarah Aidilfitri dan semalam, satu lagi kluster Aidilfitri dikesan di Sabah iaitu kluster Blok 31, Tawau.- UTUSAN ONLINE