Tiada kes miokarditis, perikarditis vaksin Comirnaty dilaporkan di Malaysia - Utusan Malaysia

Tiada kes miokarditis, perikarditis vaksin Comirnaty dilaporkan di Malaysia

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada laporan kesan sampingan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) spesifik untuk miokarditis atau perikarditis yang dikaitkan  dengan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA diterima Kementerian Kesihatan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa ini, hanya satu jenis vaksin mRNA sahaja, iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech diluluskan pendaftaran bersyarat di Malaysia.  

Menurut beliau, sehingga 13 Jun lalu, sejumlah 2,793,826 vaksin Comirnaty telah diberikan  kepada penduduk negara ini melibatkan sebanyak 1,676,959 dos pertama dan 1,116,867 dos kedua, namun tiada laporan berkenaan risiko itu diterima Bahagian Regulatori  Farmasi Negara (NPRA). 

“Sehingga kini, tiada tindakan regulatori diambil  oleh badan-badan rujukan antarabangsa lain seperti Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia ((WHO) ke atas produk vaksin jenis mRNA itu. 

“Penilaian masih dijalankan bagi menentukan hubung kait isu ini dengan vaksin Covid-19 jenis mRNA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura  baru-baru ini melaporkan berkenaan risiko miokarditis dan perikarditis yang dikaitkan  dengan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA. 

Beliau berkata, miokarditis merupakan radang pada otot jantung sementara perikarditis pula  merujuk kepada radang pada lapisan luar jantung. 

“Simptom atau gejala yang  dikaitkan dengan miokarditis atau pericarditis termasuklah sakit dada,  perubahan pada kadar degupan jantung serta kesukaran untuk bernafas. 

Noor Hisham berkata, NPRA telah menjalankan penilaian risiko ke atas isu  keselamatan berkenaan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada  badan-badan regulatori dan rujukan antarabangsa. 

Beliau menjelaskan, Kementerian Kesihatan merumuskan  bahawa profil keselamatan vaksin ini kekal positif dan penggunaannya  dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak terjejas. Manfaat semasa bagi pemberian vaksin ini adalah jauh melebihi risikonya,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa menjalankan pemantauan berterusan melalui program  pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan  kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin sentiasa terjamin.

Kata beliau, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari  semasa ke semasa dan orang ramai dinasihatkan untuk mendaftarkan diri untuk  mendapatkan vaksin Covid-19.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya