Tiada kegiatan jual anak dilaporkan di Keningau - Utusan Malaysia

Tiada kegiatan jual anak dilaporkan di Keningau

HAZANI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Polis Sabah menafikan berlaku kes penjualan anak atau pemerdagangan manusia di Keningau seperti yang dilaporkan dalam kenyataan media seorang pemimpin politik.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, mengesahkan tidak wujud kes sebegitu maka, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita tidak sahih sebegitu.

Beliau berkata, penyebaran berita yang tidak sahih sebegitu akan menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Petang tadi, Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar dalam satu kenyataan menyatakan terdapat cubaan menjual tiga orang anak yang dilaporkan berlaku di Keningau.

Difahamkan ibu kandung kepada tiga beradik itu berdepan dengan kesempitan hidup kerana tidak mempunyai wang setelah terputus sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Turut menafikan kes itu adalah Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain.

Menurutnya, memang terdapat penyerahan tiga kanak-kanak kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun, ia bukan kes penjualan anak. Kes ini berkaitan sepasang suami isteri yang ditangkap atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Bapa kepada kanak-kanak itu ditahan pada 22 Mei lalu kerana memiliki dan mengambil dadah jenis syabu manakala, ibu mereka yang positif dadah jenis syabu turut ditahan pada 11 Jun.

Susulan itu, ketiga-tiga anak pasangan ini yang berusia tujuh tahun, lima tahun dan tujuh bulan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan dan kebajikan kanak-kanak tersebut.

Shahrudin berkata, berdasarkan siasatan, sebelum ditahan ibu kepada tiga anak itu pernah memohon bantuan kewangan daripada orang awam untuk membayar jaminan suaminya di mahkamah.

“Tiada sebarang kesalahan berkaitan penjualan kanak-kanak oleh si ibu dan tiada sebarang isu pemerdagangan manusia atas desakan hidup di daerah Keningau,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihatkan pihak tertentu agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak sahih tanpa merujuk kepada polis terlebih dahulu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya