Tetapkan tarikh tutup pendaftaran vaksin - Utusan Malaysia

Tetapkan tarikh tutup pendaftaran vaksin

Wan Saiful Wan Jan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan perlu menetapkan tarikh tutup pendaftaran vaksin bagi menimbulkan ‘rasa terdesak’ dalam kalangan rakyat untuk berbuat demikian.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau yakin langkah itu akan membuatkan lebih ramai rakyat merasai kepentingan untuk segera mendaftar.

“Jika ada tarikh tutup, semua usaha kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh digembleng untuk menjayakan kempen pendaftaran vaksinasi dalam tempoh ditetapkan.

“Semua pihak akan memandang lebih serius akan perkara ini maka setiap usaha dijalankan akan lebih berfokus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, tidak dinafikan, mungkin ada dalam kalangan rakyat yang berdepan kesukaran untuk mendaftar dengan pelbagai usaha sedang dan perlu dibuat kerajaan bagi membantu mereka berbuat demikian.

“Tetapi, ramai juga yang masih mengambil sikap sambil lewa termasuk mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendaftar.

“Ada yang asyik bertangguh dan wujud pula dakyah anti-vaksin. Semua ini menyebabkan kadar pendaftaran masih rendah,” katanya.

Tambahnya, penetapan tarikh tutup pendaftaran vaksin dalam masa sama membantu kerajaan meneliti maklumat lebih lengkap dalam membuat keputusan mengenai agihan vaksin ke lokasi-lokasi seluruh negara.

“Setiap daerah mempunyai jumlah penerima berbeza, maka, strategi agihan juga sudah tentu berlainan. Jika sesebuah kampung itu memiliki bilangan penduduk besark, misalnya, maka, mungkin boleh diwujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) sementara atau PPV bergerak di situ.

“Tetapi, keputusan sebegini hanya boleh dibuat setelah ada data pendaftaran yang betul. Jika semua sudah mendaftar, kita akan ada data tepat mengenai taburan sebenar penerima vaksin dan itu membantu kita membuat perancangan tepat dalam mengagihkan vaksin yang terhad,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya