SETIU: Terengganu meletakkan sasaran untuk mencapai 80 peratus imuniti berkelompok dalam tempoh lima bulan lagi.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sasaran itu bertepatan dengan lima strategi utama yang digariskan termasuk penambahan pusat pemberian vaksin (PPV) awam, jalinan kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), program outreach dan PPV masjid.
Katanya, menerusi strategi yang digerakkan itu, sebanyak 195,340 suntikan vaksin Covid-19 disasarkan dapat diberikan dalam sebulan.
“Jika seramai 841,800 rakyat negeri ini menerima suntikan Covid-19, maka, kita menjangkakan imuniti berkelompok dapat dicapai lebih awal, dalam tempoh lima bulan.
“Bagaimanapun, sasaran itu bergantung kepada bekalan vaksin yang sentiasa berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Sekolah Kebangsaan Bukit Munduk di sini hari ini.
Dalam program itu, seramai 700 penduduk daripada lima kampung iaitu Kampung Bukit Munduk, Alor Lik, Bukit Aman, Sungai Las dan Tayor menerima vaksin Covid-19 masing-masing.
Menurut Nor Azimi, ketika ini sebanyak 5,380 suntikan harian Covid-19 diberikan kepada rakyat berbanding purata 3,808 suntikan sebelumnya menerusi 13 PPV yang dibuka.
Katanya, menerusi kerjasama dengan Unisza pula, satu PPV baharu bakal dibuka dalam masa terdekat yang dikendalikan sepenuhnya oleh warga institusi berkenaan dan dijangka dapat memberikan 1,500 suntikan sehari.
Dalam perkembangan sama, katanya, lapan lagi klinik swasta di negeri ini bersetuju untuk bekerjasama memberikan suntikan vaksin Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 buah. -UTUSAN ONLINE