JERANTUT: Tekanan hidup tidak membantutkan usaha Siti Nurfatehah Zulkafli, 18, sehingga dirinya mampu memperoleh 4A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang diumumkan menerusi portal Lembaga Peperiksaan Malaysia, Khamis lalu.
Siti Nurfatehah anak kepada pasangan generasi kedua Felda, Zulkafli Shafie, 57, dan Mariani Ismail, 53, tinggal di Felda Kota Gelanggi Dua mampu mencatat keputusan cemerlang tinggi (A) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Perniagaan, manakala Matematik Tambahan, Pendidikan Islam dan Sejarah memperoleh kepujian tertinggi (B+).
Siti Nurfatehah anak keempat daripada lima beradik berkata, kesulitan belajar yang ditempuh semasa pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersilih ganti dengan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan tahun lalu, tidak mematahkan semangatnya untuk belajar.
“Ini ditambah pula pendapatan ibu yang menjual nasi lemak berharga RM1 sebungkus menurun sejak PKP dan kadang kala kedai ditutup tidak melemahkan semangat saya belajar tanpa berbelanja buku rujukan dan kemudahan komputer riba seperti rakan lain.
“Cuma, ada sebuah alat peranti dibeli ibu untuk urusan pesanan makanan secara tunai (COD) nasi lemak sejak PKP tahun lalu membolehkan saya berkongsi ketika menghadapi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Saya terhutang budi dengan ibu yang meminjamkan alat peranti kerana kami tidak mampu memiliki alat tambahank, malah, peralatan ini yang banyak berjasa membolehkan saya mengakses maklumat serta pengetahuan menerusi PdPR,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua di sini hari ini.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua ini selanjutnya berkata, cuma alat peranti menjadi penghubung komunikasi bersama guru dan rakan untuk belajar menerusi aplikasi google meet.
“Ketika ibu masih berniaga, saya gunakan alat peranti ini ketika PdPR pada sebelah pagi dan mengikut jadual yang ditetapkan oleh guru.
“Saya hanya memberikan tumpuan ketika PdPR menerusi google meet dan bertanyakan guru sesuatu perkara yang tidak difahami, malah, tidak berpeluang bertemu rakan untuk mengulang kaji disebabkan pematuhan PKP dan bimbang dijangkiti wabak,” katanya.
Siti Nurfatehah yang bercita-cita menjadi pensyarah bidang Matematik meminta rakannya yang bakal menduduk peperiksaan SPM tahun depan sewajarnya memanfaatkan alat peranti untuk tujuan berfaedah khususnya sewaktu PdPR.
“Selain itu, selesaikan tugas bahan bercetak yang disediakan oleh guru dalam tempoh PKP ini kerana dapat membantu serta panduan menjawab peperiksaan nanti,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Mariani berkata, pendapatan jualan nasi lemak tidaklah seberapa, lebih-lebih lagi sejak PKP tahun lalu, tetapi, dia mampu menyediakan kemudahan secara ala kadar untuk anaknya belajar.
“Sejak PdPR tahun lalu, saya terus membeli alat peranti untuk kemudahan Siti Nurfatehah belajar di rumah secara dalam talian sehingga dia memperoleh keputusan yang agak baik. Saya amat bersyukur,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE