Tarikh tutup PICK perlu disusuli insentif negatif - Utusan Malaysia

Tarikh tutup PICK perlu disusuli insentif negatif

AZALINA ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Insentif negatif berupa penalti tertentu kepada individu yang gagal mendaftar vaksinasi perlu dikenakan, seandainya kerajaan berhasrat untuk menetapkan tarikh tutup Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kelak.

Mencadangkan perkara itu, Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Melaka, Azalina Abdul Rahman berkata, sebagai contoh, kerajaan boleh mengenakan sekatan pergerakan kepada mereka yang gagal mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, ia termasuk larangan memasuki tempat umum atau menjalankan perniagaan terutamanya melibatkan hubungan langsung dengan orang ramai seperti operator kedai makan dan perniagaan perkhidmatan lain.

“Penalti juga boleh dilakukan dengan lebih meluas iaitu dalam bentuk sekatan perjalanan merentas daerah, negeri atau ke luar negara bagi golongan ini setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dengan beransur-ansur kelak.

“Walaupun langkah-langkah ini mungkin saja dikritik oleh sesetengah pihak sebagai menekan rakyat, namun dalam keadaan yang mendesak ini, ia mungkin pilihan yang lebih baik dalam usaha untuk meningkatkan bilangan pendaftaran dan pengambilan vaksin di kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari.

Azalina yang juga Ketua Srikandi Bersatu negeri berkata demikian untuk mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meminta kerajaan menetapkan tarikh tutup pendaftaran mendapatkan suntikan vaksin dalam PICK.

Kenyataan itu kemudian disanggah kepemimpinan DAP yang menegaskan ia sebagai satu tindakan menggertak rakyat dan tidak wajar.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kerajaan seharusnya bertindak sebaliknya iaitu dengan mengambil pendekatan mempermudah urusan rakyat bagi mendapatkan vaksin.

Dalam pada itu, Azalina menambah, sekiranya ada yang bertanya mengapa tidak diberikan insentif positif untuk menggalakkan pendaftaran, ujarnya, ia tidak adil kepada mereka yang telah mendaftar awal dan menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

“Ia juga mengambil kira pelbagai program kesedaran yang telah dijalankan selama ini, namun tetap dipandang sepi oleh golongan itu.

“Saya menyeru kerajaan mengambil serius pandangan-pandangan yang dilontarkan ini agar ianya dapat dipertimbangkan dan seterusnya membantu mencapai objektif PICK demi untuk kebaikan kita bersama,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya