KOTA BHARU: Jumlah tangkapan hasil laut di seluruh negeri ini didapati berkurangan sebanyak 50 peratus sepanjang lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, berdasarkan rekod jabatan itu, sebanyak 15,048 tan metrik hasil laut ditangkap nelayan di negeri ini sehingga Mei lalu.
Katanya, jumlah tersebut menunjukkan penurunan apabila sebanyak 30,505 tan metrik dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lalu, meskipun turut berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Berdasarkan pemeriksaan, kekurangan hasil tangkapan disebabkan bot laut dalam yang tidak dapat beroperasi kerana tiada awak-awak asing dapat bekerja akibat penguatkuasaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) ketika ini.
“Penutupan pintu sempadan negara melalui jalan laut ekoran penularan jangkitan Covid-19 juga antara faktor pengurangan hasil tangkapan pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Nazri, nelayan di negeri ini sepatutnya tidak berdepan masalah turun ke laut meskipun ketika PKP kerana mereka termasuk dalam sektor pekerjaan yang dibenarkan beroperasi.
Selain itu, katanya, berdasarkan pemerhatian Jabatan Perikanan, tangkapan hasil laut di kawasan pantai tidak berdepan masalah kerana nelayan kategori itu tidak menggunakan khidmat awak-awak asing.
“Memandangkan hasil tangkapan ikan berkurangan di negeri ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengimport sejumlah ikan dari luar negara bagi menampung keperluan pengguna,” katanya. – UTUSAN ONLINE