KOTA KINABALU: Pemuda UMNO Sabah kekal konsisten dengan pendirian mahu Undi 18 dilaksanakan segera bagi membolehkan suara anak muda diambil kira dalam agenda pembangunan negara.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, sejak daripada awal lagi mereka mendesak kerajaan untuk serius melaksanakan Undi 18 tanpa bertangguh kerana perkara ini telah diluluskan secara sebulat suara di peringkat Dewan Rakyat.
Apabila Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyatakan pelaksanaan Undi 18 tidak dapat dilakukan atas kekangan tertentu menimbulkan tanda tanya. Bagaimana usul yang sudah mendapat kelulusan sebulat suara di Parlimen tidak diteruskan pelaksanaannya.
“Ini satu tindakan canggung yang menidakkan demokrasi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya menjadi agensi pelaksana seharusnya menjalankan tanggungjawab bagi memastikan Undi 18 dilaksanakan dengan segera,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, kenyataan yang tidak konsisten oleh sesetengah pemimpin berhubung pelaksanaan Undi 18 ini secara jelas menunjukkan mereka tidak serius untuk mengangkat suara anak muda.
Jika mereka mengatakan anak muda berusia 18 tahun ini belum cukup matang untuk mengundi mengapa pemimpin sama mencadangkan remaja 16 tahun untuk berkahwin dengan alasan mereka sudah cukup matang untuk menggalas tanggungjawab berumah tangga.
Katanya, pemimpin tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan tidak konsisten sebegini kerana ia secara jelas menunjukkan mereka tidak serius untuk mengangkat suara anak muda.
Abdul Aziz berkata, negara-negara Asean lain sudah lama membenarkan anak muda berusia 18 tahun untuk mengundi manakala negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan juga melaksanakannya.
“Kalau negara maju boleh memberi peluang kepada anak muda seawal usia 18 tahun menjadi pemegang taruh kepada pembangunan negara, kenapa tidak di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh menyatakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan pada 1 September 2022.
Penangguhan ini susulan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.- UTUSAN ONLINE