PETALING JAYA : Isu pembalakan sering menjadi pokok perbincangan apabila bercakap tentang masalah banjir di melibatkan sungai.
Baru baru ini Air Terjun Lata Y, Sungai Rek di Kuala Krai menjadi isu kerana kejernihannya air digantikan dengan air kuning seperti teh tarik yang tular di media sosial.
Lebih 1,000 penduduk di Kampung Batu Mengkebang mendakwa sumber air mereka terjejas selepas Air Terjun Lata Y, Sungai Rek berubah menjadi keruh kekuningan.
Mengulas isu tersebut, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S. Piarapakaran mendakwa khabar berita dari negeri Kelantan yang semakin kehilangan hutan-hutan daranya tidaklah memeranjatkan.
Bahkan kata beliau, banjir-banjir besar di Kelantan yang selalunya dikaitkan dengan kuasa Tuhan sebenarnya adalah disebabkan kerakusan manusia itu sendiri.
Pada masa yang sama, sains membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan gagal melindungi khazanah alam mereka dan dalam dekad-dekad akan datang akan mengalami empat malapetaka berkaitan air sahaja yang akan menghantui rakyat Kelantan iaitu banjir bah besar, kekurangan air mentah, penurunan aras air bawah tanah dan pencerobohan air laut ke kawasan air mentah akibat pengekstrakan air bawah tanah yang berlebihan.
“Walaupun dua empangan besar dibina di Kelantan sebagai tebatan banjir dan simpanan air mentah, penggondolan hutan akan mengurangkan fungsi hutan sebagai kawasan tadahan air.
“Sebagai contoh, Empangan Gemencheh di Negeri Sembilan gagal berfungsi disebabkan kawasan tadahan dijadikan kawasan perladangan.
Peruntukan melebihi RM 30 juta diperlukan untuk membina sistem pam untuk mengepam air mentah “teh beng” dari Sungai Jelai. Kos ini tidak termasuk kos penyelenggaraan pam dan empangan serta kos tenaga elektrik,” ujarnya kepada Utusan Online.
Kata beliau, kerajaan negeri juga dilaporkan membekukan lesen untuk dua peladang di kawasan ini sebagai tindak balas balas atas kejadian ini.
Bayangkan jika peladang pada masa akan datang sudah mula beroperasi, jumlah air dari air terjun ini akan berkurangan dan juga akan tercemar dengan bahan-bahan kimia seperti racun perosak dan baja kimia. Ini juga mengingatkan kepada situasi ladang-ladang haram di Cameron Highlands. Tetapi, situasi di Kelantan adalah ladang yang diberikan lesen.
Ada juga gambar-gambar yang kita lihat mengenai isu ini menunjukkan lumpur terkumpul di dasar kawasan air terjun. Ini juga akan menyebabkan dasar-dasar sungai semakin cetek dan memudahkan banjir berlaku. Sebagai contoh, banjir yang berlaku pada tahun 2014 di Kuala Krai sendiri adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh penggondolan hutan.
“Tergelak juga bila membaca komen Menteri Besar Kelantan pada bulan Januari lalu yang mengatakan banjir berlaku akibat hujan lebat dan bukannya pembalakan. Hutan dara mempunyai kaedah semula jadi untuk melambatkan aliran air hujan ke sungai-sungai.
Proses ini juga dibantu oleh kandungan humus atau gambut pada dasar hutan yang berfungsi sebagai span (penyerap) dan juga membantu mengisi semula air bawah tanah (groundwater recharge). Pembalakan menghilangkan fungsi ini.
“Maka, jika hujan lebih lebat dan hutan dara kekal, banjir masih dapat dikawal. Isu seperti ini bukan sahaja di Kelantan malah hampir ke semua kerajaan negeri akan memberikan alasan sebegini, “ujarnya.
Isunya kini adalah, bilakah anak-anak negeri Kelantan akan sedar akan masalah yang akan menjadikan negeri mereka padang jarak padang tekukur sewaktu musim panas dan “teh beng” melimpah sewaktu musim tengkujuh. -UTUSAN ONLINE