Tak sempat edar rokok seludup - Utusan Malaysia

Tak sempat edar rokok seludup

SALAH seorang suspek yang ditahan anggota PGA kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok ketika sedang memunggah bekalan itu di tempat letak kenderaan Bestari Walk di Jalan Bestari, Nusa Bestari di Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Dua ‘rakan kongsi’ yang membekal rokok seludup ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam ketika sedang memunggah kotak rokok di tempat letak kenderaan Bestari Walk di Jalan Bestari, Nusa Bestari di sini hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, PGA turut merampas 225 karton rokok seludup jenama DC De Classic yang dianggarkan bernilai RM40,000 dengan cukai.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 32 dan 44 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati rokok ini dipercayai dibawa masuk dari negara Indonesia dan dipercayai kegiatan ini telah beroperasi selama enam bulan.

“Semasa serbuan dilakukan, kedua-dua suspek sedang sibuk memunggah kotak-kotak rokok seludup dari Proton Persona ke kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan berkenaan berjumlah RM79,734,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dimin berkata, kedua-dua kenderaan terbabit turut dirampas kerana digunakan dalam aktiviti tersebut.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek merupakan rakan kongsi dan bertindak sebagai pengedar rokok seludup.

Tambahnya, kedua-dua suspek berserta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan itu berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Johor Bahru,” ujarnya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya