MELAKA: Tabung Covid-19 yang merupakan tabung Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menerima sumbangan sebanyak RM67.1 juta setakat 31 Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, sebanyak 75 peratus daripada sumbangan itu telah disalurkan menerusi Bantuan Khas Hilang Pendapatan, Bantuan Khas Pengurusan Kematian dan kepada Yayasan Kebajikan Negara bagi edaran bantuan bakul makanan.
Tambah beliau, sumbangan tiga bulan gaji menteri dan timbalan menteri ke dalam Akaun Amanah Bencana juga memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa kesusahan menghadapi pandemik Covid-19 perlu dipikul bersama.
“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan yang turut menyambut baik inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiga bulan gaji menteri dan timbalan menteri yang dipotong akan disalurkan ke Akaun Amanah Bencana.
Terdahulu, Mohd. Redzuan mengadakan sidang video bersama Pengarah, Jawatankuasa Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid 2.0 serta petugas-petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Maeps 2.0 dan PKRC Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.
Beliau diberikan maklumat terkini serta keadaan sebenar para petugas dan pesakit daripada kedua-dua PKRC tersebut susulan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama bermula 1 hingga 14 Jun depan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Cuthbert John Martin Quadra memaklumkan, setakat semalam, PKRC MITC telah menerima seramai 662 pesakit dengan kapasiti katil sebanyak 1,490 buah.
“PKRC MITC diaktifkan pada 21 Mei lepas untuk menempatkan pesakit berisiko rendah dan tidak bergejala,” katanya. -UTUSAN ONLINE