JOHOR BAHRU: Syarat ditetapkan Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) bahawa sesebuah kawasan perlu mempunyai sasaran 8,000 penerima vaksin dalam lingkungan 10 kilometer (km) untuk sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka tidak sesuai bagi kawasan luar bandar.
Perkara itu dibangkitkan dalam satu kenyataan bersama tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Johor iaitu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan ADUN Skudai Tan Hong Pin.
Menurut kenyataan tersebut, syarat berkenaan menyukarkan penduduk kampung yang kediaman mereka berjarak sehingga 50km daripada mana-mana PPV yang dibuka.
“Sebagai contoh, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dalam Parlimen Pagoh, FELCRA Bukit Kepong dan FELDA Maokil terletak sejauh 45km hingga 50km dari PPV baru di Pekan Pagoh.
“Di kedua-dua perkampungan tersebut ada Klinik Desa dan sekolah tetapi bilangan penduduk sekitar 4,000 orang, kurang daripada syarat 8,000 orang. Jadi kami mohon CITF sediakan sebuah PPV di Klinik Desa di situ ataupun sekurang-kurangnya di Pekan Bukit Kepong yang berdekatan.
“Pagoh bukan kes berasingan tetapi gambaran kepada fenomena di seluruh Johor, malah mungkin di seluruh negara,” jelas kenyataan itu.
Kelmarin, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menafikan kenyataan tiga wakil rakyat berkenaan yang mendakwa tidak ada PPV di kawasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh yang mengatakan ia satu dakwaan tidak berasas.
Menurut kenyataan bersama itu lagi, teguran itu dibuat kerana terdapat jurang penerima vaksin yang besar antara bandar dan luar bandar di mana perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku baik di kawasan Perdana Menteri ataupun di kawasan lain.
“Dengan menonjolkan Pagoh sebagai contoh, kami cuba menarik perhatian semua pihak agar nasib penduduk luar bandar tidak diabaikan.
“Kalau Bukit Kepong dan Pagoh yang diwakili tokoh-tokoh pemimpin pun masih begitu, jangan salahkan kami yang bimbang akan nasib kampung lain di seluruh Johor,” tambah kenyataan itu.- UTUSAN ONLINE