SWM Environment sanitasi kenderaan kutipan sisa pepejal setiap hari - Utusan Malaysia

SWM Environment sanitasi kenderaan kutipan sisa pepejal setiap hari

SWM Environment melaksanakan sanitasi setiap hari pada semua kenderaan kutipan sisa pepejal dan jentera pembersihan awamnya.-FOTO/IHSAN SWM ENVIRONMENT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) melaksanakan sanitasi setiap hari pada semua kenderaan kutipan sisa pepejal dan jentera pembersihan awam dalam usaha menghentikan rantaian penularan pandemik Covid-19.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata demikian ketika mengulas mengenai penularan berita pekerja SWM Environment dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.

“Pihak SWM Environment sentiasa bekerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi memastikan 24 warga kerja yang disahkan positif dengan penyakit Covid-19 ini dikuarantin dan mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya. 

“Kami memohon kerjasama orang ramai agar tidak menularkan berita tidak sahih melibatkan pekerja barisan hadapan SWM Environment supaya tidak mencetuskan sebarang situasi cemas dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Dalam pada itu, Mohd. Norlisam berkata, pihak SWM Environment akan melaksanakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seperti biasa di lapan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP) 3.0 bermula 1 Jun sehingga 28 Jun ini. 

“Pengalaman semasa PKP 1.0 lalu menjadi panduan SWM Environment untuk menguruskan janaan sisa buangan para penduduk.

“Menjadi tanggungjawab SWM Environment sebagai syarikat perkhidmatan perlu (essential services) yang menguruskan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam untuk memastikan kelancaran operasi mengikut jadual,” katanya.

Tambah beliau, SWM Environment telah merancang dengan teratur akan keperluan harian jentera dan pekerja barisan hadapan bagi memastikan kerja-kerja kutipan sisa pepejal yang dijana oleh penduduk sentiasa terurus dan persekitaran di kawasan awam adalah bersih. 

“Kami memohon kerjasama para penduduk untuk memastikan tiada sebarang halangan kenderaan di sepanjang laluan jentera operasi perkhidmatan serta di sekitar tong sampah beroda dan rumah sampah berpusat.

“Masyarakat juga disarankan supaya dapat menguruskan sisa yang dijana oleh mereka secara tertib terutamanya sisa pelitup muka bagi mengelakkan risiko jangkitan pandemik Covid-19 kepada pekerja SWM Environment dan orang awam,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya