Suami isteri pengedar syabu sedang khayal dicekup - Utusan Malaysia

Suami isteri pengedar syabu sedang khayal dicekup

KEDUA-dua suspek yang juga pasangan suami isteri ditahan di sebuah rumah di Kota Laksamana, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mengedar dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kota Laksamana di sini, kelmarin. 

Suspek masing-masing berusia 28 dan 29 tahun itu diberkas kira-kira pukul 11 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. 

Timbalan Ketua JSJN negeri, Deputi Superintenden Mohd. Akmal Abdullah berkata, ketika serbuan, kedua-dua mereka didapati sedang berkhayal menghisap dadah. 

Katanya, pemeriksaan lanjut di premis juga menjumpai satu peket dadah dipercayai syabu seberat 51 gram bernilai RM5,000. 

“Hasil maklumat kita berjaya mengesan seorang wanita yang menjalankan kegiatan mengedar dadah bersama suaminya warga Indonesia. 

“Ketika serbuan dilakukan, pasangan itu juga sedang leka menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ujarnya, tiga anak pasangan itu yang berusia dua hingga tujuh tahun bagaimanapun tiada di lokasi kerana dijaga oleh adik suspek wanita di Muar, Johor. 

Mengulas lanjut, Mohd. Akmal berkata, maklumat awal soal siasat mendapati, suspek telah menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak dua bulan lalu. 

“Suami isteri ini mengedar dadah jenis syabu di kawasan sekitar Tengkera. 

“Hasil semakan, suspek wanita yang tidak bekerja itu mempunyai satu rekod lampau atas kesalahan memiliki dadah,” jelasnya.

Tambahnya, dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah kereta Nissan Cefiro bernilai RM20,000. 

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 23 Jun depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya