KUANTAN: Ditarik balik atau kekal?
Demikian persoalan tentang status Tasik Chini yang diisytiharkan sebagai Rezab Biosfera (BR) oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009.
Difahamkan, proses audit berhubung status itu dilakukan 10 tahun sekali oleh UNESCO dan untuk tasik semulajadi tersebut, ia sepatutnya pada 2019.
Melihat kepada kegiatan penerokaan di Tasik Chini yang masih berlaku, wujud kebimbangan status BR berkenaan ditarik balik oleh UNESCO.
Tasik Chini menjadi tapak pertama di negara ini yang diberikan pengiktirafan berprestij itu, selain Banjaran Crocker di Sabah yang diterima pada 2014.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar berkata, adalah menjadi kerugian besar kepada negara jika status BR Tasik Chini ditarik balik oleh UNESCO.
“Status ini membolehkan kita menerima dana penyelidikan untuk membangunkan kawasan itu, termasuk mewujudkan limpahan ekonomi untuk masyarakat tempatan dan Orang Asli.
“Berdasarkan senario semasa, kita mungkin kehilangan status BR Tasik Chini jika tiada usaha pemulihan dilakukan. Aktiviti penerokaan juga perlu dilakukan secara sistematik,” katanya.
RB adalah kawasan yang telah dikenal pasti oleh UNESCO untuk membantu mempromosikan pemuliharaan dan penggunaan lestari.
Kawasan yang ditetapkan sebagai RB terdiri daripada ekosistem terestrial, laut dan ekosistem, yang merupakan “Sains untuk Tapak Kemapanan.”
Biosfera diiktiraf di peringkat antarabangsa tetapi dicadangkan oleh kerajaan dan diuruskan oleh negeri tempat rezab itu berada.
Terdapat 669 tapak mempunyai status itu yang mewakili 120 buah negara di seluruh dunia.
Noor Jehan berkata, status RB penting untuk dikekalkan kerana ia akan membantu melonjakkan imej Tasik Chini sebagai antara destinasi ekopelancongan utama di Pahang dan juga negara ini.
“Selain itu, ia akan menjadi sumber rezeki bagi penduduk setempat di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan di Tasik Chini,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, kawasan Tasik Chini sepatutnya diwartakan sebagai Hutan Simpan dan program pemuliharaan flora dan faunanya dilakukan bersama oleh kerajaan negeri, penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).- UTUSAN ONLINE