SPM 2020: Anis redah banjir, Covid-19 sebelum capai keputusan cemerlang - Utusan Malaysia

SPM 2020: Anis redah banjir, Covid-19 sebelum capai keputusan cemerlang

Nur Faizathul Anis (kiri) berkongsi kegembiraan dengan ibunya semasa menyemak keputusan SPM secara dalam talian di Beaufort, Sabah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rumah dilanda banjir, membesar dalam keluarga yang kurang berkemampuan selain kelas secara online yang ‘kejap dibuka, kejap ditutup’.

Demikian cabaran dihadapi Nur Faizathul Anis Mailin, 18, atau Anis sepanjang mengikuti persekolahan tahun lalu selain persiapannya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia 2020.

Biarpun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, namun anak pemandu lori ini berkongsi rasa bangga dengan Utusan Malaysia apabila memperoleh keputusan 6A, 3B, 1C, dan 1D.

Namun begitu, bagi Anis, keputusan itu sedikit mengecewakan dirinya kerana dia memperoleh 7A dalam ujian percubaan SPM sebelum ini.

“Saya sudah mencuba sedaya upaya yang boleh untuk menjawab semua soalan peperiksaan dengan baik. Pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang tahun lalu memang memberi cabaran besar bagi pelajar.

“Sekolah pula sekejap dibuka, sekejap ditutup. Hendak bersemuka dengan guru juga susah. Namun ketika berpeluang balik ke asrama, saya syukur kerana guru dapat menyediakan kelas tambahan,” katanya yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kimanis, Papar.

Anis memberitahu, banjir yang melanda rumahnya yang terletak di Kampung Lubak, Beaufort pada tahun lalu juga mengganggu persediaannya menghadapi SPM.

“Bukan sahaja saya, malah ramai lagi pelajar yang berdepan cabaran ini. Namun kami reda belajar dalam suasana bencana berganda ini, ditambah dengan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, bagi Anis, dia enggan menjadikan banjir, Covid-19 selain membesar dalam keluarga yang kurang berkemampuan sebagai alasan untuk membiarkan hidup berlalu tanpa ada usaha memperbaiki segala-galanya.

Beliau mengakui ibunya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa banyak memberikan dorongan dan doa untuknya berjaya.

Anis juga mengakui pandemik Covid-19 sedikit sebanyak mengganggu emosi untuk belajar kerana situasi pembelajaran di sekolah dan di rumah tidak sama.

“Saya sudah mencuba sedaya yang boleh untuk menjawab semua soalan peperiksaan dengan baik. Pelaksanaan sesi PdPR sepanjang tahun lalu memang memberi cabaran yang besar bagi pelajar.

“Apa-apa pun saya sudah cuba melakukan yang terbaik dan saya masih bersyukur kerana lulus dalam semua subjek bagi Sains Tulen ini,” katanya.

Menurutnya, semasa berada di asrama selain kelas tambahan yang diadakan oleh guru, dia turut mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan pada setiap malam.

“Jika ada rakan yang lemah dalam satu-satu subjek, mereka akan saling membantu,” katanya.

Anis merancang untuk melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Guru (IPG) dalam bidang Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya