Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi tidak berkesan - Utusan Malaysia

Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi tidak berkesan

R. THIAGARAJAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Usaha kerajaan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dilihat tidak berkesan setelah hanya lima syarikat sahaja secara sukarela menandatangani persetujuan menyertai skim itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bebas Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R. Thiagarajan berkata, keberkesanan usaha itu hanya dapat dilihat sekiranya kerajaan meletakkan syarat wajib khususnya kepada 25 syarikat kredit yang dikenal pasti paling banyak memberikan pinjaman kepada pengusaha bas.

Menurutnya, terdapat banyak lagi syarikat yang membuat pinjaman kredit enggan menyertai skim tersebut kerana tidak mahu dikawal selia oleh mana-mana kementerian atau agensi.

“Kalau kita lihat, lima yang menyertai skim itu adalah syarikat kredit yang dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang merupakan syarikat kredit yang utama.

“Malah, pelanggan mereka ini juga adalah syarikat bas yang besar, bahkan, ada perniagaan lain seperti lori dan stesen minyak. Bukannya syarikat kecil seperti ahli kami yang terjejas teruk dan dibelenggu hutang sejak Covid-19 melanda negara.

“Tambahan pula, bantuan ini bersifat ‘first come, first serve. Jadi, apa manfaat yang kami akan dapat daripada skim ini. Ia tidak akan selesaikan masalah kami,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) berkata, kerajaan akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi dengan nilai peruntukan RM1 bilion.

Melalui skim itu, pengusaha bas dan teksi boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

Thiagarajan berkata, SGBM telah berunding dengan syarikat berkenaan namun mereka enggan menyertainya dengan alasan ia bukan skim yang diwajibkan.

Kata beliau, jika hanya syarikat kredit besar menyertai skim itu, manfaat moratorium hanya dinikmati oleh syarikat bas yang kukuh ekonominya sekali gus menyebabkan hasrat sebenar kerajaan tidak dicapai.

“Pelaksanaan skim ini tidak secara menyeluruh dan hanya syarikat bas yang kukuh dari segi ekonominya menikmati manfaat moratorium itu. Jadi, apakah nasib syarikat-syarikat kecil yang dihimpit masalah kewangan disebabkan tak boleh beroperasi, oleh itu penyertaan syarikat kredit perlu dikaji semula,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya