Sistem daftar vaksin tidak gagal - Utusan Malaysia

Sistem daftar vaksin tidak gagal

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Penyelaras Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) , Khairy Jamaluddin menyangkal keras dakwaan pihak pembangkang kononnya sistem pendaftaran vaksinasi ketika ini sebagai lemah.

Sebaliknya beliau berkata, kelewatan segelintir warga emas untuk menerima tarikh janji temu imunisasi menerusi aplikasi MySejahtera sebenarnya sedang serius ditangani pihak berkaitan.

Daripada maklumat diterima ujarnya, hampir 60 peratus warga emas di seluruh negara sudah berdaftar dan beliau memberi jaminan, mereka akan dapat tarikh vaksinasi secepat mungkin.

“Saya sedia menerima segala bentuk kritikan dan saranan bernas daripada mana-mana pihak, namun untuk dakwa sistem digunakan sebagai gagal, itu tidak benar sama sekali,” katanya dalam sidang akhbar bersama-sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini hari ini.

Beliau merujuk kenyataan bekas menteri, Yeo Bee Yin yang kesal dengan Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) lewat menyenaraikan warga emas bagi proses janji temu vaksinasi.

Semalam, pemimpin DAP itu dilaporkan meragui sistem pendaftaran PICK kerana didakwa tidak berupaya menguruskan data asas berbanding aplikasi mudah pengiraan Microsoft Excel.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sehingga semalam seramai 436,244 individu yang berusia 60 tahun ke atas sudah pun berjaya menerima tarikh imunisasi mereka sehingga 15 Jun ini.

“Bagi Fasa Kedua PICK, sejumlah 855,124 warga emas telah menerima dos pertama dan kita sasar kesemua 9.4 juta individu akan selesai divaksin sehingga Ogos ini,” tegas Khairy.

Menyentuh pendaftaran secara automatik yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata pihak CITF masih meneliti pelbagai opsyen untuk tujuan itu.

Bagaimanapun jelasnya, apa yang lebih penting ialah proses pendaftaran tidak rumit dan jika ada masalah seperti capaian liputan Internet, pasukan khas sedia dikerah ke lokasi terbabit.

Perkara itu katanya, malah sudah dilaksanakan di kawasan pedalaman Kedah dan Kelantan dengan penduduk itu terus divaksin manakala rekod butiran mereka dimasukkan kemudian.

CITF ujar Khairy juga bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan untuk mempercepatkan proses imunisasi ke atas golongan sasaran yang terdedah risiko wabak itu.

“Sebagai contoh, hari ini 98 petugas media jadi kumpulan pertama divaksin dan saya harap Jabatan Penerangan segera menyenaraikan nama terbabit untuk tindakan susulan,” katanya.

Ditanya jika ada yang perlu segera divaksin tanpa perlu menunggu lama giliran tarikh janji temu, beliau berkata, mereka boleh menghantar e-mel terus kepada permohonan@vaksincovid.

Bagaimanapun, CITF hanya akan mempertimbangkan kes kecemasan seperti pelajar yang menerima tawaran pada saat akhir untuk melaporkan diri di institusi pengajian luar negara.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya