ALOR SETAR: Polis Kedah mengesan sindiket penipuan pelaburan baharu menerusi pembelian barangan secara dalam talian daripada Lazada dan Shopee membabitkan kerugian hampir RM300,000 sejak bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, sindiket itu terbongkar selepas memperdaya dua mangsa iaitu seorang tukang besi berusia 27 tahun dan pembantu kedai berusia 29 tahun.
Katanya, tukang besi dan pembantu kedai terbabit masing-masing mengalami kerugian RM179,154 dan RM119,897.
“Kejadian berlaku apabila tukang besi tersebut menerima link melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan komisen daripada pembelian barangan menerusi Lazada pada 9 Jun lalu.
“Mangsa menekan link itu seterusnya dia diminta melakukan tangkap layar dan menghantar semula gambar barangan dalam Lazada itu ke satu nombor telefon diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya ditawarkan komisen atas wang pembelian barangan yang mana mangsa akan mendapat kembali wang dilaburkan beserta komisen.
“Lelaki itu terpedaya selepas menerima kembali wang pembelian barangan Lazada pada hari yang sama menerusi tiga transaksi pembayaran ke dalam akaun bank Hong Leong.
“Dia juga mendapat komisen RM3.65 atas kos pembelian barangan bernilai RM73.70 dan RM39.15 bagi barangan bernilai RM783.10 serta RM23.49 bagi barangan bernilai RM469.80,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa membuat enam lagi transaksi pembayaran secara dalam talian antara 10 Jun hingga kelmarin ke dalam tiga akaun bank berbeza berjumlah RM179,154 menggunakan wang simpanan untuk mendapatkan lebih banyak komisen.
“Mangsa bagaimanapun tidak mendapat komisen dan wang pelaburan dan menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar pada semalam,” jelasnya.
Tambahnya, seorang lagi mangsa iaitu pembantu kedai rugi RM119,897 akibat diperdaya sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi sama, tetapi, platform pembelian dalam talian berbeza iaitu Shopee pada 31 Mei lalu.
“Penipuan yang menawarkan komisen dan pemulangan wang pelaburan menggunakan modus operandi seperti ini adalah antara satu cara penipuan terbaharu yang dikesan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -UTUSAN ONLINE