PETALING JAYA : Kegiatan tujuh individu warga Nigeria terlibat dalam terlibat parcel scam dan love scam sejak lima tahun lalu tumpas selepas ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kajang, Selangor, Rabu lalu.
Penahanan itu dilakukan berdasarkan daripada maklumat dan risikan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, kesemua suspek terdiri enam lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia antara 33 hingga 42 itu dikesan aktif melakukan penipuan terhadap warga tempatan dan luar negara.
Kata beliau, hasil tangkapan itu, 17 telefon bimbit, komputer riba (lapan unit), 17 telefon, pemacu simpanan data mudah alih (tiga unit), modem dan penghala (router) dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) masing-masing sebanyak dua unit.
“Turut dirampas ialah satu set anak kunci, dua keping pasport Nigeria dan beberapa dokumen lain yang berkaitan siasatan yang dijalankan.
“Siasatan mendapati sindiket ini mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya lapan kes penipuan yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin memberitahu, semakan lanjut mendapati suspek memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar serta visa lawatan sosial.
“Walaupun tempoh visa sudah tamat, mereka terus tinggal di negara ini secara haram dan menjalankan kegiatan penipuan.
“Sindiket ini beroperasi dalam dua kumpulan yang berbeza iaitu satu kumpulan mencipta akaun palsu di media sosial dan memperdaya mangsa manakala satu kumpulan yang lain berperanan untuk mencari ‘akaun keldai’,” jelasnya
Tambah beliau, sindiket ini juga bersekongkol dengan warga tempatan yang akan menyamar sebagai pegawai kastam atau staf syarikat kurier untuk memperdayakan mangsa.
“Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) atau Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan 1962,” katanya.-UTUSAN ONLINE