Sindiket judi didalangi warga Korea Selatan digempur - Utusan Malaysia

Sindiket judi didalangi warga Korea Selatan digempur

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukan pasport warganegara Korea Selatan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) Johor. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket pusat perjudian atas talian membabitkan warga Korea Selatan yang beroperasi sejak dua tahun lalu melibatkan taruhan terkumpul RM87 juta tumpas selepas 10 lelaki ahli sindiket itu ditahan dalam dua serbuan di Iskandar Puteri, dekat sini, Sabtu lalu.

Operasi sindiket itu sukar dijejaki setelah mereka berpindah-randah dari satu kawasan ke satu kawasan setiap tiga hingga enam bulan bagi mengelakkan daripada dikesan dan dicekup pihak berkuasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan bermula pukul 5 petang, polis menahan sembilan suspek warganegara Korea Selatan dan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 29 hingga 66 tahun.

Katanya, operasi khas tersebut dilakukan sepasukan polis tindakan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Jabatan Siasatan Jenayah (D7) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

“Siasatan awal mendapati warga Korea Selatan itu berperanan sebagai ‘pegawai khidmat pelanggan’ yang menjaga operasi judi dalam talian yang mana mereka akan bekerja secara dua syif dalam tempoh 24 jam.

“Sindiket ini telah menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi judi dalam talian sejak dua tahun lalu dengan mensasarkan pelanggan dari negara asal mereka. Segala transaksi kewangan akan terus dimasukkan ke akaun bank yang berpusat di Korea Selatan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan memasuki negara ini sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial dan menyewa kediaman elit yang mempunyai jaringan internet pantas serta kawalan keselamatan yang baik.

“Ini adalah pertama kali sindiket judi atas talian yang ditumpaskan melibatkan warga Korea Selatan dan kesemua mereka juga tidak meninggalkan kediaman elit sepanjang operasi.

“Suspek tempatan yang ditahan itu berperanan sebagai penghantar (runner) untuk membeli makanan dan keperluan harian mereka. Dia juga berperanan sebagai mengatur operasi serta mencari kawasan baru untuk berpindah.

“Dianggarkan nilai taruhan harian yang digerakkan sindiket ini boleh mencecah RM1 juta melibatkan 236 kaki judi. Kita masih mengesan saki baki sindiket serta lokasi lain yang masih beroperasi,” ujarnya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau ke atas warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Polis merampas enam komputer, empat komputer riba, 13 telefon bimbit, lapan kad ATM, 12 kad prabayar, empat modem, empat tablet, wang tunai RM36,168, wang tunai 7.77 juta won (RM28,887) dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.

Tambahnya, kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 15 (1)(C) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Kawasan Tempatan Yang Dijangkiti) 2012.

“Kesemua warga Korea Selatan direman 14 hari, manakala suspek tempatan direman selama tiga hari bermula semalam,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya