KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan membentuk silibus mengenai MA63 dan pembentukan Malaysia untuk rujukan di sekolah, pengajian tinggi dan orang awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, silibus itu akan membantu menghapuskan tafsiran fakta yang salah dan tidak tepat berkaitan perjalanan peristiwa serta fakta perjanjian MA63 yang sebenar.
“Terdapat banyak tafsiran berkaitan MA63 dan kami berharap melalui penghasilan silibus pelajaran ini, ia akan membantu membetulkan fakta yang salah.
“Kami berharap silibus itu akan membantu memberi penerangan yang tepat kepada orang ramai mengenai gambaran sebenar perjanjian yang amat bersejarah ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 secara maya semalam.
Mesyuarat berkenaan disertai peguam kanan daripada Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) diketuai Presiden SLS, Roger Chin dan ahli lembaga Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah yang diketuai Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Yaakub Johari.
Jelas Maximus, Jawatankuasa Pemandu MA63 yang ditubuhkan ini membantu mempercepatkan pengumpulan data mengenai kandungan sejarah dan aspek perundangan dalam MA63.
“Jawatankuasa yang terdiri daripada Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), SLS dan IDS Sabah akan mengumpul fakta sejarah berkaitan pembentukan Malaysia pada 58 tahun yang lalu bagi membentuk silibus mengenai MA63 ini.
“Ia akan dikoordinasikan oleh BHESS, SLS dan dengan input daripada IDS and Kementerian Pendidikan Malaysia serta para cendekiawan yang akan bekerjasama membentuk silibus MA63 ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE