PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak perlu berdolak dalih untuk mengadakan sidang Parlimen yang sekarang ini sudah tergantung lima bulan.
Pengarah Kongres Nasional Keadilan 2021, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, banyak negara telah mengadakan persidangan Parlimen secara dalam talian atau hibrid sepanjang penularan wabak Covid-19.
“Hakikat bahawa sebuah parti politik boleh mengadakan sidang kongres sepenuhnya secara dalam talian membuktikan sebenarnya Perikatan Nasional (PN) hanya mencari alasan untuk tidak memanggil sidang Parlimen.
“Mengapa ini tidak menjadi pilihan untuk Parlimen, institusi perundangan nasional negara? Tahun lepas, Malaysia menjadi tuan rumah sidang APEC melibatkan negara-negara Asia Pasifik yang diadakan sepenuhnya atas talian.
“Sistem pembelajaran di universiti dan sekolah hari ini diadakan secara atas talian di Malaysia. Tambahan lagi, Parlimen boleh bersidang secara hibrid memandangkan semua Ahli Parlimen telah menerima dua dos vaksin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Hamzah memaklumkan Parlimen hanya akan bersidang selepas negara berjaya mencapai imuniti kelompok terhadap virus Covid-19.
Malah, menurutnya, desakan supaya Dewan Rakyat bersidang sekarang hanya akan mencetuskan lebih banyak kluster jangkitan berkenaan.
Beliau juga mengkritik PKR sebagai takut mengadakan kongres parti secara fizikal dan mengadakan sidang secara maya.
Mengulas perkara itu, kata Nik Nazmi, sidang kongres yang bermula semalam dengan Kongres Wanita, diikuti Kongres Angkatan Muda pada hari ini dan Kongres Nasional esok dibuat atas keputusan Majlis Keselamatan Negara.
Malah, katanya, parti juga telah mengadakan perbincangan berterusan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Dengan mengatakan Sidang Parlimen hanya akan dipanggil selepas tercapainya imuniti kelompok (sekitar 80 peratus dari rakyat terima vaksin) adakah ini bermakna kerajaan mengatakan PKP yang ada pada hari ini akan diteruskan sehingga negara mencapai tahap tersebut?
“Pemberian vaksin boleh diperluaskan kepada kakitangan Parlimen dan penjawat awam yang terlibat dengan perjalanan Parlimen serta penggunaan langkah-langkah yang terpakai pada sidang tahun lepas dari segi penjarakkan fizikal dan menghadkan bilangan Ahli Parlimen dalam dewan pada satu-satu masa,” katanya. -UTUSAN ONLINE