SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan mengumumkan pakej rangsangan, Pakej Kita Selangor minggu hadapan bagi membantu rakyat dan sektor yang terkesan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kali ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini, pakej itu sedang dirangka bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Insha-Allah, kami akan umumkan Pakej Kita Selangor awal minggu depan.
“Saya dan Exco akan membincangkan perkara ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebentar tadi,” katanya ringkas dalam Majlis Pelancaran Program Agro Prihatin di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya memperuntukkan RM500,000 bagi program tersebut bagi membantu golongan petani yang terjejas ketika PKP 3.0.
“Program ini melibatkan urusan pembelian lambakan hasil pertanian yang dihadapi golongan petani.
“Contohnya, seperti ini, kita menerima maklumat berlaku lambakan jagung dan cili. Oleh demikian, mereka boleh menghubungi hotline Agro Selangor 0193162400 atau Facebook Agro Selangor supaya wakil Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor.
“Malah, orang ramai boleh mendapatkan buah dan sayuran terpilih yang dijual di 12 lokasi jualan seluruh negeri dengan kadar diskaun sebanyak 50 peratus,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE