PUTRAJAYA: Fasa keempat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diaktifkan minggu ini dengan keutamaan diberikan kepada sektor perkilangan yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, agihan vaksin kepada sektor industri itu akan diselaraskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurutnya, satu pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka dengan kerjasama MITI manakala program vaksinasi akan bermula pada Rabu ini.
“Fasa kawalan wabak perlu digerakkan secepat mungkin dalam kalangan industri agar kluster tempat kerja dapat dikawal memandangkan berlaku peningkatan kluster membabitkan sektor itu akhir-akhir ini.
“Selepas ini, agihan vaksin akan dibuka kepada sektor industri lain termasuk pembinaan, perladangan, peruncitan dan hospitaliti.
Ia akan digerakkan secara berperingkat-peringkat bagi memastikan setiap sektor akan dapat dilindungi,” katanya pada sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.
Sebelum ini, Khairy berkata, fasa keempat PICK akan membabitkan sektor ekonomi kritikal termasuk yang perlu beroperasi sepanjang PKP.
Antara industri yang akan terbabit dalam fasa itu adalah dari sektor pembuatan, eksport, logistik, pengangkutan, tenaga dan utiliti.
Dalam pada itu, Khairy berkata, ketika ini, enam PPV mega beroperasi bagi menyegerakan fasa dua PICK dengan sasaran 30,000 orang boleh divaksinasi setiap hari.
“Sebuah lagi PPV mega dibuka di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) hari ini dengan agihan dos harian dihadkan kepada 4,900 dos,” katanya.- UTUSAN ONLINE