TELUK INTAN: Pengusaha pusat belajar memandu di sini terkesan apabila tidak dibenarkan beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan akibat Covid-19 kerana disenaraikan sebagai perkhidmatan bukan keperluan utama.
Pengurus Gabungan Sekolah Memandu Hilir Perak Sdn. Bhd., Datuk Ramli Ahmad berkata, keadaan itu menyebabkan pusat belajar memandu di sini lengang apabila tiada pelanggan.
Katanya, ini menyebabkan mereka hilang pendapatan sehingga tidak mampu membayar hutang bank seperti hutang kereta dan membayar gaji pekerja.
“Golongan seperti kami antara yang terkesan kerana tidak dibenarkan beroperasi. Ini kali kedua kami melaluinya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu.
“Sepatutnya ketika ini ramai yang menduduki ujian memandu terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Jika keadaan berterusan, sukar untuk kami meneruskan operasi selepas ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, sehubungan itu pengusaha sekolah memandu di sini merayu supaya mereka dibenarkan beroperasi seperti mana beberapa sektor ekonomi lain yang diberi kebenaran beroperasi semasa PKP 3.0.
Katanya, jika dibenarkan, pihak pengurusan sekolah memandu sedia melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di premis masing-masing.
“Dalam keadaan sekarang, kami amat memerlukan bantuan tunai daripada kerajaan untuk kami terus bertahan. Kami tidak mahu tenaga pengajar dan ejen di institut memandu hilang mata pencarian kerana ini sahaja sumber pendapatan mereka untuk menampung keluarga,” katanya.
Sementara itu, seorang tenaga pengajar di sebuah pusat belajar memandu di sini, Rosli Yahya, 43, berkata, dia terpaksa mencari pekerjaan lain setelah operasi pusat belajar memandu tidak dibenarkan beroperasi.
“Semasa PKP tahun lepas, selama tiga bulan saya tidak kerja kerana pusat belajar memandu tidak dibenarkan beroperasi dan perkara yang sama berulang kali ini.
“Saya berharap kerajaan membenarkan pusat belajar memandu beroperasi semasa PKP 3.0 ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE