PETALING JAYA : Prosiding perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.28 bilion syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan sehingga 21 Jun ini.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Akram Gharib ketika dihubungi Utusan Malaysia, perbicaraan itu pada asalnya disambung semalam sebaliknya ditangguhkan ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (lockdown) selama 14 hari bermula semalam.
“Memandangkan sekatan pergerakan penuh sampai 14 Jun, jadi bicara akan sambung pada 21 Jun ini,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan pengendalian kes-kes antaranya semua perbicaraan dan pendengaran kes sivil dan jenayah ditetapkan secara kehadiran fizikal hendaklah ditangguhkan ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (lockdown).
Sepatutnya semalam peguam mewakili ahli Parlimen Pekan itu, Wan Aizuddin Wan Mohammed dijangka meneruskan pemeriksaan saksi pendakwaan ke-10 iaitu Wan Hazeem Abdul Rahman, 49, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.
Pada minggu lalu, perbicaraan itu yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Collin Lawrence Sequerah ditangguhkan selama dua kali ekoran Najib cuti sakit kerana menjalani pembedahan mata.
Najib, 67, yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion kini dibicarakan berkenaan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.- UTUSAN ONLINE