Segera ke Parlimen bincang isu rakyat- Shafie - Utusan Malaysia

Segera ke Parlimen bincang isu rakyat- Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Perikanan Nasional (PN) terus menerima tekanan daripada pembangkang untuk segera membuka sidang Parlimen secara bersemuka bagi membincangkan isu- isu rakyat.

Terbaharu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ketika ini persidangan Parlimen secara konvensional amat perlu dan bukannya secara hibrid bagi membincangkan isu-isu berkaitan Covid-19.

Mohd Shafie berkata, kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 ketika ini memerlukan persidangan Parlimen dibuka secara bersemuka dengan kadar segera bagi membolehkan isu-isu berkaitan dapat disuarakan. 

Beliau berkata, sudah tiba masanya badan legislatif itu diadakan secara bersemuka kerana situasi Covid-19 di negara ini semakin teruk biarpun darurat sudah dilaksanakan.

“Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak Januari lalu susulan Proklamasi Darurat bagi menangani pandemik Covid-19. Bagaimanapun kes jangkitan Covid-19 terus menunjukkan peningkatan yang ketara ditambah pula dengan peratusan vaksinasi di Sabah yang rendah.

“Jadi kita tidak boleh membiarkan keadaan ini menjadi lebih teruk dan sekarang adalah masa yang tepat untuk parlimen bersidang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semasa Proklamasi Darurat diisytiharkan pada 12 Januari, kes harian Covid-19 hanya 3,309 kes dengan kumulatif sebanyak 141,533 dan bilangan keseluruhan kematian 559 kes.

Namun, pada 3 Jun juga semasa darurat masih dilaksanakan, bilangan kes harian meningkat kepada 8,209 kes dengan kumulatif 595,374 kes. Bilangan kematian harian pula adalah 103 kes dengan kumulatif kes kematian sebanyak 3,096.

Situasi ini jelas menunjukkan kerajaan gagal menangani krisis Covid-19 dan masih bergelut untuk menanganinya sehingga sekarang dan keadaan ini menyebabkan rakyat marah dan kecewa.

“Keadaan pandemik semakin serius maka, persidangan secara bersemuka perlu bagi menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Mohd Shafie berkata, negara lain seperti Singapura, Britain dan Australia dan negara demokrasi berparlimen yang lain masih bersidang bagi menangani pandemik Covid-19 dan merancang pemulihan ekonomi di negara mereka. 

Untuk itu, Parlimen di Malaysia juga seharusnya bersidang dengan menghadkan kehadiran kepada 220 ahli Parlimen sahaja. Tidak perlu kehadiran pegawai ahli Parlimen yang lain. 

Semua ahli-ahli Parlimen juga telah selesai divaksin sepatutnya tidak menjadi masalah untuk Parlimen bersidang secara bersemuka.

Sekiranya kerajaan boleh membenarkan pusat membeli belah dan kilang barangan perlu beroperasi kenapa Parlimen yang begitu penting tidak dibuka.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya