PETALING JAYA : Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang percaya bahawa Majlis Raja-Raja bersidang baru-baru ini telah mendengar taklimat daripada semua pihak terlibat dengan tugas menghadapi wabak Covid-19 dan mengambil maklum berkenaan segala kesan sampingan mengganggu kehidupan seluruh rakyat.
Kata Ahli Parlimen Marang itu, dalam menghadapi pandemik yang melanda di seluruh dunia, keputusan dilakukan hendaklah dirujuk kepada yang pakar dalam mengawal wabak dan segala aspek berkaitan dengannya.
“Keputusan diambil sekali-kali tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana kalangan yang hanya melihat kepentingan golongan dan pihak tertentu tanpa melihat kepada perkara asas dalam menghadapi wabak yang belum selesai ini
“Rasulullah telah menunjukkan suatu panduan dalam menghadapi keadaan wabak yang dilaksanakan oleh para khalifah selepasnya secara selamat,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Kenyataan Abdul Hadi itu menyusul selepas dua hari titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin pada kelmarin.
Seri Paduka menzahirkan pandangan sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Titah itu dikeluarkan selepas Sesi Perbincangan Khas berlangsung antara Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Dalam pada itu, Abdul Hadi dalam kenyataan itu menyelitkan satu hadis riwayat Muslim berkenaan pengajaran kepada umat Islam dalam menguruskan hal dunia khususnya berkaitan negara dan rakyat.
“Hadis ini menjadi pengajaran dalam urusan keduniaan khususnya dalam urusan negara dan rakyat yang sangat besar amanahnya.
“Justeru, segala keputusan yang diambil hendaklah dirujuk kepada mereka yang ahli dan berkepakaran dalam lapangan masing-masing,” katanya.- UTUSAN ONLINE