PUTRAJAYA: “Kami amat tersentuh dengan apa yang anda (rakyat Malaysia) lakukan, melihat bendera Palestin berkibar di Menara Berkembar Petronas, bangunan Tabung Haji, kenderaan dan di seluruh negara ini, tiada siapa boleh pertikai solidariti rakyat Malaysia untuk Palestin.”
Itu luahan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dalam majlis penyerahan sumbangan dana daripada agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di kedutaan negara tersebut, di ibu negara, hari ini.
Sebanyak RM20,000 dana berjaya dikumpulkan dan disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hasan; Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Ajib Ismail sebagai simbolik mewakili agensi-agensi agama Islam Persekutuan.
Walid berkata, sumbangan yang diterima tepat pada masanya dan ia tentunya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat Palestin di negara ini.
Beliau turut meminta agar disebarkan lagi kisah-kisah kekejaman Israel kepada semua dan di saat kita berada di sini, penduduk Gaza umpamanya masih tiada bekalan air selain 46 buah sekolah diserang Israel.
“Ketika ini, ada keluarga dan para pelajar Palestin di negara ini, di sekitar Kajang dan Cyberjaya umpamanya, kami bantu dengan beri sumbangan bakul makanan.
“Untuk anda datang ke sini (menyerahkan sumbangan) ketika negara ini dan Palestin berada dalam kesukaran, dari dasar hati kami, saya ucapkan berbanyak terima kasih,” kata Walid.
Turut disampaikan pada majlis itu ialah sumbangan untuk 100 keluarga Palestin di negara ini dengan setiap mereka menerima RM500.
Sementara itu, sumbangan juga akan disampaikan kepada rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai operasi langsung di negara berkenaan atau yang aktif dalam memperjuangkan isu pembelaan Palestin. -UTUSAN ONLINE