KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan sebanyak 33,000 suntikan vaksin Covid-19 sehari untuk dilaksanakan di tiga wilayah negara ini iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah dan pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega selain di klinik dan hospital swasta.
Beliau berkata, bagi memastikan ketiga-tiga wilayah itu mencapai sasaran imuniti berkelompok seawal Ogos depan, kementerian itu akan meneruskan pelaksanaan program berkenaan.
“Inisiatif ini adalah lanjutan daripada Program Rintis Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang telah bermula sejak 7 hingga 13 Jun lalu. Dalam tempoh tersebut, 24,500 dos vaksin telah diberikan kepada kumpulan sasar di Kuala Lumpur.
“Inisiatif ini juga dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsagaan dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada warga WP Kuala Lumpur bagi mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera.
“Dengan kejayaan ini, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 telah memberikan kebenaran kepada kementerian untuk meneruskan program ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata Annuar, seramai 31,987 individu telah menerima vaksin bermula hari ini sehingga 23 Jun depan melibatkan golongan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.
Ini termasuk peniaga, pekerja dan penjaja di pasar harian, kawasan industri, penempatan gelandangan, Program Perumahan Rakyat, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN), Perumahan Awam (PA) DBKL dan kampung-kampung tradisi.
Selain itu, menurutnya, fasa kedua vaksinasi itu melibatkan 22 lokasi antaranya Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Harian Selayang, lapan kawasan industri, tujuh PPR MTEN dan PA DBKL, pusat penempatan gelandangan di Pusat Komuniti Setiawangsa, Desa Aman, Desa Tasik, Kampung Sungai Penchala dan Kampung Padang Balang.
“Dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi yang menggunakan keseluruhan 10 trak vaksin bergerak, ia sekali gus dapat mencapai 80 peratus sasaran vaksinasi untuk warga wilayah menjelang Ogos nanti,” katanya.
Jelas Anwar, kejayaan program itu adalah hasil kerjasama strategik kementerian bersama Kementerian Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan beberapa jabatan serta agensi kerajaan.
“Program ini juga mendapat sokongan teknikal dan logistik daripada pelbagai pihak termasuk kru bukan perubatan, sukarelawan dan persatuan-persatuan penduduk yang berganding bahu dalam menjayakan program ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE