Sampai bila media perlu tunggu vaksin? - Utusan Malaysia

Sampai bila media perlu tunggu vaksin?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Harapan warga media untuk menerima vaksin Covid-19 masih kabur biarpun dijanjikan untuk memperoleh imunisasi itu sejak awal bulan lalu.

Kelab Media Putrajaya (KMP) dalam kenyataan berkata, perkara itu pernah dinyatakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin ketika sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pada 28 April lalu bahawa kira-kira 1,500 petugas media bakal menerima vaksinasi pada Mei. 

Biarpun tidak dimaklumkan mengenai tarikh pemberian vaksin, katanya, sudah tentu ia membawa kelegaan  kepada petugas media, terutama apabila PICK sudah  memasuki Fasa Kedua, sedangkan golongan media yang turut digelar ‘petugas barisan hadapan’ masih tidak  menerima pelalian. 

“Sudah tentu ramai antara kami terutama yang bertugas di pusat pentadbiran negara berharap  menjadi antara yang terawal menerima vaksin Covid-19. 

“Namun, selepas seminggu, dua minggu berlalu, Aidilfitri tiba dan akhirnya Mei berakhir, tiada  sebarang khabar berita mengenai bila pemberian vaksin kepada petugas media akan dimulakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih membimbangkan, kata KMP, ketika PICK masih berada dalam Fasa Kedua, pelbagai program dan  acara menteri dan kementerian yang perlu petugas media hadiri, kadang kala secara fizikal. 

Malah, katanya, jika bukan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, tidak mustahil  begitu banyak acara diatur dalam bulan Syawal. 

Menurut KMP, sekali lagi media dijanjikan pemberian vaksin, dikatakan pada bulan ini pula tetapi tiada apa jaminan sebelum  bulan ini berakhir akan menerima pelalian yang diperlukan. 

“Mungkin kedengaran mudah atau seperti kami melebih-lebih berbanding orang lain, tetapi jangan  lupa, kudrat dan kreativiti kamilah yang dituntut untuk melaporkan kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP),  sentiasa kekal berada di rumah jika tiada urusan penting perlu diselesaikan di luar, kebaikan rakyat  mendapatkan vaksinasi serta kepentingan mendapatkan imuniti kelompok.

“Sungguh malang jika petugas media yang terpaksa mengenepikan keselamatan diri ketika bertugas  di lapangan terus menerus terpaksa menunggu dan merayu untuk diberikan vaksinasi sedangkan  ia sudah dijanjikan kepada kami,” katanya.

KMP berkata, kesemua petugas media juga sudah berkeluarga atau tinggal bersama-sama keluarga, dan  berbanding kebanyakan sektor, mereka juga terpaksa keluar untuk bekerja terutama jurugambar serta  jurukamera. 

Katanya, jika seorang daripada kami dijangkiti, bukan sekadar satu pejabat terpaksa dikuarantin, malah  rakan sejawat dari organisasi lain juga berkemungkinan terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19 serta kuarantin seperti yang berlaku dalam kalangan petugas media di Putrajaya, Johor Bahru  dan beberapa tempat lagi.

“Justeru, kami sangat-sangat berharap CITF dan kerajaan serius dalam memberikan pelalian kepada  kami supaya kami dapat terus berbakti dan membawa agenda kerajaan mencapai imuniti kelompok  sebelum akhir tahun ini,” katanya. –  UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya