PUTRAJAYA: Program kegemaran ramai setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha, Salam Baitullah masih tetap disiarkan RTM seperti biasa tahun ini bagi menemui para penonton setianya.
Menerusi hantaran akaun Facebook rasmi program berkenaan, Salam Baitullah, penerbit mengesahkan rancangan tersebut akan ke udara bermula awal Julai depan.
“Salam Baitullah 2021 tetap akan bersiaran dan kami dalam peringkat persediaan ke hari yang bakal tiba,” kata kenyataan ringkas di laman Facebooknya dengan tajuk ‘Suatu Kerinduan’.
Penerbit itu turut memuat naik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Sabtu lalu mengenai ketiadaan jemaah haji Malaysia tahun ini.
Ia susulan keputusan rasmi kerajaan Arab Saudi melarang penglibatan bakal jemaah dari luar negara bagi musim haji 1442 disebabkan situasi semasa wabak Covid-19 yang agak serius.
Sebaliknya, negara tersebut mengehadkan hanya 60,000 jemaah yang meliputi warganegara Arab Saudi dan penduduk asing diberikan peluang bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
Ini merupakan kali kedua Salam Baitullah disiarkan tanpa petugas RTM membuat liputan secara langsung dari Tanah Suci sejak Arab Saudi menutup pintu sempadannya, awal tahun lalu.
“Setiap perancangan, pasti ada alternatifnya,” menurut pengurus akaun Facebook Salam Baitullah itu yang memberi gambaran kemungkinan ada lintas langsung dengan rakyat Malaysia di Arab Saudi.
Ia mengulangi format sama dalam program itu tahun lalu apabila ada wawancara eksklusif bersama sembilan warga Malaysia yang bertuah dapat mengerjakan haji dalam protokol paling ketat.
Arab Saudi pada musim haji 1441 lalu buat julung kali hanya membenarkan 10,000 jemaah haji menjalani ibadah fardu itu berbanding tahun-tahun sebelumnya mencecah 2.5 juta orang.
Bagaimanapun, pengurus laman media sosial itu tidak memaklumkan siapakah bakal pengacara program bual bicara popular tersebut yang sudah pun memasuki tahun ke-13 pada musim haji kali ini.
Promosi Salam Baitullah 2021 sudah disiarkan RTM sejak 4 Jun lalu dan menerima reaksi positif ramai warganet khasnya bakal jemaah yang tidak dapat pergi ke sana tahun ini.
Salam Baitullah mula ke udara sejak 2008 pada setiap pukul 9 malam selama sejam selepas slot Berita Perdana secara eksklusif menerusi saluran TV1 dengan 15 episod setiap musim.
Program itu pernah mencatatkan ‘rating’ tertinggi pada 2015 ekoran insiden kren tumbang di Masjidil Haram di Makkah yang mengorbankan 118 orang termasuk 10 jemaah haji Malaysia.
Ini diikuti dengan satu lagi tragedi berdarah selang dua minggu kemudian apabila berlaku rempuhan di Mina yang dilaporkan pelbagai agensi berita asing telah meragut lebih 2,000 nyawa.
Tahun ini, ibadah haji dijangka bermula wukuf di Arafah pada 19 Julai manakala Hari Raya Aidiladha pada keesokan hari yang turut meliputi penyembelihan korban selama empat hari. -UTUSAN ONLINE