Sabah sasar 30,000 penerima vaksin setiap hari - Utusan Malaysia

Sabah sasar 30,000 penerima vaksin setiap hari

Hajiji Noor (dua kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong (kiri) menyaksikan proses vaksinasi di PPV Wisma Wanita, Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyasarkan bilangan penerima vaksin di Sabah meningkat kepada 30,000 orang setiap hari bermula Julai bagi memastikan imuniti berkelompok dapat dicapai mengikut sasaran ditetapkan.

Jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda berbanding pemberian vaksin pada masa ini iaitu 13,000 orang sehari.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sekiranya bilangan penerima ini dipertingkatkan maka, sasaran 2.9 juta penduduk Sabah berusia 18 tahun ke atas diberikan vaksin akan dapat dicapai menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan. 

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang memperhebatkan strategi termasuk membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memastikan kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.

Setakat ini, 111 PPV sudah beroperasi di Sabah yang membabitkan 72 fasiliti kesihatan dan 39 PPV awam.

“Daripada jumlah itu, 16 PPV awam baharu dibuka pada bulan ini dan ia termasuk PPV Wisma Wanita yang mula beroperasi sejak semalam.

“Bermula bulan ini, Hospital Gleneagles dan Rafflesia Medical Center serta 36 buah klinik swasta lain turut terlibat dalam pemberian vaksin kepada penduduk di negeri ini,” katanya selepas lawatan ke PPV Wisma Wanita hari ini.

Menurutnya, PPV Wisma Wanita mampu memberikan vaksin kepada 400 orang penerima setiap hari dan ia digunakan untuk pemberian vaksin kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan yang bertugas di Kota Kinabalu serta kepada penduduk setempat. 

Terdapat seramai 20,549 penjawat awam negeri, manakala 107,172 pula adalah penjawat awam Persekutuan. Bagi penjawat awam yang bertugas di daerah, mereka akan menerima vaksin di PPV sedia ada di kawasan masing-masing. 

Sabah juga akan melaksanakan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dalam fasa empat yang akan bermula Julai ini.

Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) akan dijadikan sebagai PPV bagi PIKAS Sabah untuk memberikan vaksin kepada pekerja industri, kilang dan perkhidmatan ekonomi yang lain. PPV SICC berkapasiti 3,500 orang sehari. 

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) juga sudah memulakan program vaksinasi bergerak ke pedalaman melibatkan 26 pasukan sejak 18 Mei lalu. 

Sehingga kini, seramai 670,282 orang atau 22.9 peratus penduduk di Sabah telah mendaftar untuk vaksinasi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya