Rosmah cabar Sri Ram didengar 17 Jun - Utusan Malaysia

Rosmah cabar Sri Ram didengar 17 Jun

Senjata
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pendengaran permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengisytiharkan prosiding di Mahkamah Tinggi terbatal dan pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kesnya tidak sah dan tidak teratur ditetapkan pada 17 Jun ini.

Prosiding itu sepatutnya berlangsung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada pukul 9 pagi esok.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Azizah Jaafar menerusi e-mel kepada kedua-dua pihak hari ini.

Katanya, mahkamah memutuskan demikian selepas meneliti surat peguam dan maklum balas pihak responden agar pendengaran kes itu pada esok (3 Jun) dilapangkan.

Menerusi emel itu lagi, turut dimaklumkan perbicaraan bela diri Rosmah pada 15 dan 16 Jun ini juga dilapangkan.

Rosmah, 69, diarah membela diri atas pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagaimanapun, pada minggu lalu, beliau memfailkan permohonan antara lain bagi mendapatkan perisytiharan agar beliau dibebaskan daripada semua tiga pertuduhan, jika mahkamah memutuskan perbicaraan itu silap.

Permohonan itu difailkan berikutan Mahkamah Rayuan pada 8 April lalu membenarkan rayuan Rosmah untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram, selepas pihak pendakwaan bersetuju menyerahkan dokumen itu kepada pihak pembelaan.

Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.

Mahkamah Rayuan ketika itu berpuas hati surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 November 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya, surat itu bertarikh 8 Julai tahun lalu dan ditandatangani Peguam Negara sekarang, Tan Sri Idrus Harun.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya