Rina diminta jangan berdiam diri isu keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak - Utusan Malaysia

Rina diminta jangan berdiam diri isu keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak

DR NURUL ASHIKIN MABAHWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tindakan berdiam diri Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga berhubung pelaksanaan masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga mengecewakan ramai pihak.

Ketua Pejuanita Muda (Penaja) Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Dr. Nurul Ashikin Mabahwi berkata, kementerian tersebut wajar memberi penjelasan mengenai program tersebut memandangkan kes keganasan rumah tangga, penderaan mental dan seksual kanak-kanak sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh  (total lockdown) berada pada tahap membimbangkan sejak tahun lalu.

Katanya, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam empat bulan pertama tahun ini sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sebanyak 5,260 kertas siasatan pada Disember tahun lalu.

“Malah sebanyak 2,540 aduan kes sama diterima melalui Talian Kasih kementerian tersebut. Sehingga September 2020 pula sebanyak 3,875 kes penderaan, penganiayaan kanak-kanak direkodkan. PDRM sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa sebanyak 12,330 kes jenayah terhadap wanita, kanak-kanak dan jenayah seksual dilaporkan dalam tempoh PKP.

“ Angka-angka ini membuktikan peningkatan drastik keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak berlaku ketika PKP,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Jabatan Agama Islam mengumumkan akan menggunakan masjid sebagai pusat transit keganasan rumah tangga.

Tambah Nurul Ashikin, Malaysia masih kekurangan rumah perlindungan, selain tiada perancangan diuarkan-uarkan oleh menterinya, Datuk Seri Rina Harun mengenai isu tersebut.

“Sehingga kini tiada penjelasan dibuat mengenai program ini. Berapa ramai wanita yang telah dibantu dan mendapat perlindungan di masjid-masjid? Bagaimana dengan kawasan yang tiada pusat transit? Bagaimana mangsa keganasan rumah tangga boleh pergi ke masjid dalam tempoh lockdown? Adakah ada pelepasan bagi mangsa keganasan rumah tangga untuk keluar rumah dan menyelamatkan diri ke pusat transit?

“Sudah hampir dua tahun negara kita berdepan pandemik. Peningkatan ketara keganasan domestik serta penderaan mental dan seksual kanak-kanak sepatutnya sudah boleh dijangka. Kementerian sepatutnya telah ada inisiatif dan menghebahkannya kepada umum terutama sekali pada wanita dan kanak-kanak tentang bagaimana mereka boleh mendapat bantuan dan perlindungan. Lebih-lebih lagi bagi wanita yang tiada sumber kewangan sendiri,” ujarnya.

Justeru, beliau menyarankan kementerian untuk memberi bantuan kewangan khas terus (ke bank akaun) mangsa agar mereka boleh menyelamatkan diri (bagi mangsa yang tiada pendapatan sendiri), selain memastikan sekurang-kurangnya setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ( DUN) dilengkapi rumah perlindungan, perkhidmatan pengangkutan bagi memudahkan pemindahan dan menambah bilangan pekerja sosial di setiap negeri agar mangsa boleh dibantu segera dari rumah ke rumah.

“Selain itu, kementerian juga disaran membuat hebahan yang lebih meluas tentang cara mendapatkan bantuan, menggerakkan Kempen Jiran Prihatin agar jiran boleh juga membuat aduan bagi pihak mangsa, terutama bagi kanak-kanak yang tiada akses telefon.

“Kempen dalam bentuk kartun atau cara kreatif lain di televisyen juga perlu agar kanak-kanak yang menjadi mangsa tahu cara mendapatkan bantuan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya