SHAH ALAM: Polis menahan remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rogol teman wanitanya di sebuah kondominium di Padang Jawa, di sini, pagi tadi.
Suspek berusia 19 tahun merupakan warga tempatan ditahan di rumah sewanya bersama remaja berusia 15 tahun itu kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja perempuan itu pada 31 Mei lalu yang dibuat bapanya.
“Bertindak atas laporan, siasatan dijalankan dan kita berjaya mengesan remaja perempuan terbabit berada di rumah teman lelakinya di sebuah kondominium di Padang Jawa.
“Kita telah menahan teman lelakinya dan buat masa ini, menerima laporan daripada bapa mangsa mengatakan anaknya telah dirogol. Kes kini tidak diklasifikasikan sebagai orang hilang, tetapi, di bawah Seksyen 376 kerana merogol,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut di sebuah tapak pembinaan di Eco Ardence, Setia Alam di sini hari ini.
Terdahulu, seorang remaja perempuan dari Seksyen 7 di sini dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak 31 Mei lalu sebelum bapanya membuat laporan polis pada keesokan harinya.
Kehilangan remaja itu tular selepas didakwa bermain papan selaju di kawasan taman rekreasi berhampiran rumahnya sebelum disedari hilang.
Mengulas mengenai lawatan itu, Baharudin berkata, sepanjang sekatan pergerakan penuh, pihaknya telah melakukan pemantauan di 27 premis di tapak pembinaan dan kilang.
Jelasnya, berdasarkan pemantauan, pihaknya telah mengeluarkan kompaun masing-masing RM10,000 terhadap dua kilang tersebut kerana beroperasi tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan pekerja melebihi had ditetapkan.
“Bagaimanapun, setakat ini, kita berpuas hati dengan kepatuhan masyarakat, cuma, masih ada segelintir yang gagal mematuhi SOP iaitu jumlah penumpang melebihi had ditetapkan.
“Susulan itu, kita telah mengeluarkan kompaun kepada mereka yang masih berdegil mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang PKP penuh,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE