TANGKAK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) menggalakkan lebih ramai masyarakat khususnya penternak muda untuk menceburi bidang ternakan arnab berikutan potensinya yang mulai berkembang di negara ini.
Timbalan Menteri II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, setakat ini, permintaan terhadap haiwan ternakan itu mulai meningkat dan pihaknya bersedia untuk memperluaskan sektor ini dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun, kita menghadapi kekurangan dari segi bekalan berikutan penglibatan penternak untuk daging arnab agak rendah. Saya nampak pasaran yang besar, namun, kita punya penternak masih belum mampu.
“Di Malaysia, industri yang mula dikembangkan pada 2003 sehingga kini hanya memperoleh sekitar 33,701 ekor meliputi penternakan arnab pedaging dan kesayangan (belaan). Manakala di Johor, terdapat 53 penternak arnab yang berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dengan jumlah populasi 4,339 ekor bagi kategori arnab pedaging dan 123 sebagai haiwan belaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Projek Ternakan Arnab milik salah seorang penduduk di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Johor, Dr. Norina Lokman dan Pegawai Perkhidmatan Veterinar Tangkak, Wan Asri Wan Jusoh.
Menurut Che Abdullah, kaedah penternakan daging arnab adalah lebih mudah kerana selain keuntungan yang mampu dijana, kos permulaannya juga rendah bermula dengan modal penjagaan, makanan dan habitatnya.
“Dari segi produktiviti indeks iaitu anggaran margin kasar, dianggarkan seekor induk akan menjanakan hasil atau memberi keuntungan kasar dalam RM100 setahun. Harga daging bertulang RM36 sekilogram manakala bagi daging tanpa tulang pula RM47 sekilogram.
“Selain itu, kelebihan bidang ternakan ini juga adalah pembiakan yang cepat iaitu tempoh bunting 30 hari, diet pracampuran yang mudah diperolehi dan boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran,” katanya.
Beliau berkata, JPV bersama-sama kerajaan negeri akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memajukan industri penternakan arnab menerusi pelaksanaan program berbentuk khidmat nasihat serta bimbingan, kursus penternakan arnab, penghasilan produk tambah nilai berasaskan daging arnab seperti burger, satay dan arnab perap dan kursus pemprosesan kulit.
“Malah, kerajaan negeri turut menyediakan insentif berbentuk bantuan bahan binaan untuk membina, memperbaiki dan menaiktaraf reban dan bantuan peralatan di bawah pembangunan industri aneka haiwan dengan peruntukan berjumlah RM90,000 bagi tahun ini.
“Sehingga kini seramai empat orang penternak arnab berpotensi di Johor telah dibimbing melalui Program Pengembangan Veterinar (PPV) sebagai usaha mengembangkan lagi industri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE